RAHIMI meledak hatrik yang membolehkan Al Ain menang 4-2 ke atas Al Hilal pada perlawanan separuh akhir pertama ACL, malam tadi. FOTO AFC CHAMPIONS LEAGUE
RAHIMI meledak hatrik yang membolehkan Al Ain menang 4-2 ke atas Al Hilal pada perlawanan separuh akhir pertama ACL, malam tadi. FOTO AFC CHAMPIONS LEAGUE
AFP

Al-Ain, Emiriah Arab Bersatu (UAE): Rekod 34 kemenangan berturut-turut dilakar kelab Arab Saudi, Al Hilal berakhir di tangan kelab UAE, Al Ain pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam tadi.

Penyerang Maghribi, Soufiane Rahimi meledak hatrik pada babak pertama yang membolehkan Al Ain menang 4-2 pada perlawanan pertama separuh akhir ACL.

Kali terakhir Al Hilal yang juga juara Asia empat kali gagal menang adalah pada September tahun lalu apabila seri pada perlawanan Liga Pro Saudi.

Perlawanan malam tadi ditangguhkan 24 jam selepas hujan lebat melanda UAE dan pemegang rekod dari Arab Saudi itu pasti berharap hujan berterusan.

Rahimi membuka jaringan pada minit keenam hasil umpanan Yahia Nader dan menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-20 selepas dijatuhkan penjaga gol, Mohammed Al Owais.

Rahimi melengkapkan hatrik pada minit ke-40 menerusi satu lagi sepakan penalti selepas Ali Al Bulayhi menjatuhkan pertahanan Brazil, Erik dalam kotak penalti.

Al Hilal merapatkan jurang pada awal babak kedua menerusi Malcom, tetapi dibolosi satu lagi sepakan penalti apabila Kalidou Koulibaly menjatuhkan Rahimi dan kali ini Alejandro Romero menyempurnakan sepakan berkenaan untuk Al Ain mendahului 4-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:18 AM