KELINCAHAN Omar (kanan) gagal disekat pemain negara.
KELINCAHAN Omar (kanan) gagal disekat pemain negara.

Jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mahdi Ali tidak menjangkakan anak buahnya mampu melakar kemenangan besar 10-0 ke atas Harimau Malaya pada perlawanan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Zayed semalam.

Katanya, beliau hanya mengingatkan semua pemainnya supaya tidak mengambil mudah walaupun Malaysia memiliki rekod buruk selepas tewas 0-6 kepada Palestin, Jun lalu dan ternyata taktik itu menjadi.

“Pemain saya beraksi cukup baik dan paling penting misi kami mendapat tiga mata tercapai. Jaringan 10 gol memang tidak diduga tapi bagus untuk kami mendapat kelebihan dalam saingan peringkat kumpulan.

“Saya hanya mahu pemain menghormati Malaysia dalam perlawanan ini dan kerana itu mereka bermain dengan sangat baik,” katanya.

Keinginan untuk UAE, pasukan di ranking ke-70 dan pasukan ketiga di Piala Asia 2015 untuk memenangi perlawanan kelmarin cukup terserlah apabila Mahdi menurunkan barisan terbaiknya termasuk pemain perancang Omar Abdulrahman serta dua penyerang berbisa mereka Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout.

Pergerakan skuad The Whites tersusun rapi dengan umpanan Omar kerap mencipta peluang untuk Ahmed Khalil meledak empat gol manakala Ali Mabkhout tiga gol.

Jaringan Mohamad Salem, Habib Al Fardan dan Mohamed Gharib melengkapkan kemenangan tuan rumah, sekali gus menghadiahkan kekalahan terbesar Malaysia dalam sejarah.

Kejayaan itu membolehkan UAE menduduki tangga teratas Kumpulan A selepas dua perlawanan, berkongsi enam mata dengan Arab Saudi namun memiliki kelebihan jaringan.

Menurut Mahdi, beliau mahu pemainnya kekal fokus apabila berdepan perlawanan sukar dengan Palestin di gelanggang lawan Selasa depan.

“Kami akan pergi ke Jordan bagi kem latihan tiga hari sebelum menentang Palestin. Perlawanan itu satu lagi aksi sukar jadi kami perlu bersedia,” katanya.

Juara kumpulan ini akan layak ke pusingan ketiga Piala Dunia 2018 dan mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di UAE.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:18 AM