ARIF Aiman meraikan jaringan gol kelapan ketika bertemu Penang FC yang juga jaringan ke-100 bagi pasukan JDT dalam Liga Super. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ARIF Aiman meraikan jaringan gol kelapan ketika bertemu Penang FC yang juga jaringan ke-100 bagi pasukan JDT dalam Liga Super. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Siapa sangka walaupun masih berusia 21 tahun tapi Arif Aiman Hanapi menunjukkan kematangan `luar biasa' apabila beraksi dengan cermerlang bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) mahupun saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim ini sehingga sering menjadi igauan ngeri buat pasukan lawan.

Beraksi di posisi sayap kanan dengan kelicikan mengawal bola selain kerap melakukan umpanan bola yang membolehkan rakan sepasukan menjaringkan gol, ternyata corak permainannya persis bekas pemain Manchester United, Andrei Kanchelskis yang begitu lincah ketika beraksi di padang.

Kini pemain kelahiran Kuantan, Pahang yang dibentuk dari Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) itu adalah bintang yang semakin bersinar bersama JDT malah dia mula menyerlah sejak 2021 apabila menjaringkan dua gol dan lima bantuan jaringan.

Dengan kualiti yang ada, sewajarnya nilai Arif Aiman meningkat menerusi kemas kini oleh laman Transfermarkt pada 18 Disember lalu, nilai terkini anak jati Pahang itu adalah 550,000 euro (RM2.82 juta) berbanding 450,000 euro (RM2.3 juta).

Malah pengendali JDT, Esteban Solari menganggap Arif Aiman adalah pemain berbakat dan perlu digilap lagi untuk memastikan konsistensi permainan sentiasa berada di tahap yang memuaskan bagi mengharungi kempen baharu musim depan.

"Arif Aiman pemain yang `meletup' sekarang bersama JDT dan dia harus bekerja keras untuk berada di dalam kesebelasan utama malah dia membuktikan kenapa perlu saya letakkan dalam skuad utama.

"Persaingan sihat di dalam JDT ketika latihan beri impak positif apabila setiap pemain memberi kerjasama yang menakjubkan termasuk Arif Aiman dan saya optimis momentum dan kualiti permaiannya akan lebih mantap pada musim depan," kata Solari.

Pada musim 2023, gol yang dijaringkan meningkat tiga gol dengan 13 bantuan jaringan dan pada musim ini paling menyerlah apabila mucul penjaring terbaik tempatan selepas meledak 12 gol dan 13 bantuan jaringan.

Peningkatan mendadak itu membuktikan betapa Arif berada di dalam kelas tersendiri dan kerap menjadi taruhan Solari yang banyak memberi kata-kata perangsang kepada pemain paling bernilai (MVP) dua musim berturut-turut itu agar lebih berkeyakinan dan mengekalkan konsistensi permainan.

Dengan berakhirnya kancah Liga M, kini nama Arif Aiman dikaitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang menyenaraikan bintang muda negara itu sebagai satu daripada lima pemain yang bakal menjadi tumpuan pada saingan penuh prestij Piala Asia di Qatar, awal tahun depan.

Jelas Fifa, Arif Aiman menjadi antara watak penting buat Harimau Malaya terutamanya menerusi pencapaian hebat ditunjukkan pemain JDT itu pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan lalu.

Dengan pengiktirafan badan induk bola sepak antarabangsa itu, kini terletak kepada kesungguhan Arif Aiman untuk menyinar di pentas Asia sekali gus memberi sinar buat Harimau Malaya yang bersaing dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 10:36 AM