AKSI final Piala FA 2023 yang menyaksikan JDT muncul juara selepas mengalahkan KL City 2-0 sebentar tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKSI final Piala FA 2023 yang menyaksikan JDT muncul juara selepas mengalahkan KL City 2-0 sebentar tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa bermandi peluh sebelum memastikan Piala FA berjaya dipertahankan buat dua musim berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0 dalam aksi final di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan itu cukup manis apabila diraih di hadapan penyokong JDT tatkala beraksi di gelanggang keramat pasukan itu yang terpaksa menanti dua jaringan terhasil pada babak kedua dan ia juga kejuaraan ketiga selepas menang pada musim lalu dan musim 2016.

Sebaik perlawanan bermula, skuad kendalian Esteban Solari mula mengorak langkah dengan mengasak ke kubu KL City dan seawal minit kedua, Arif Aiman Hanapi bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti tapi sempat dihalang pertahanan skuad The City Boys.

KL City nyata tidak berdiam diri sebaliknya hampir mengejutkan JDT pada minit ke-15 selepas bola sepakan percuma Paulo Josue tepat kepada Matko Zirdum yang sempat merembat tapi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berjaya menghalang dengan badan bagi mengelak gawang dibolosi.

Malang buat JDT selepas peluang terhidang untuk merungkai jaringan terlepas apabila bola rembatan Afiq Fazail dari luar kotak penalti pada minit ke-27 sekadar singgah di palang gol ketika penjaga gol, Kevin Mendoza sudah tertewas.

Sekali lagi skuad kendalian Bojan Hodak hampir mencipta jaringan pada minit ke-35 apabila bola sepakan Ramirez tepat kepada T Saravanan yang berjaya memperdaya Matthew Davies sebelum merembat bola leret tapi sipi di sebelah kiri gawang ketika Ahmad Syihan Hazmi sudah tertewas.

Fernando Forestieri sepanjang 40 minit permainan agak tenggelam hampir menjaringkan selepas berjaya melepasi kawalan Zirdum dan bertindak membuat sepakan lencong tapi hanya sekadar sipi di sebelah kiri gawang gol ketika Mendoza sudah tertewas.

Ternyata sepanjang babak pertama, pendekatan taktikal Hodak dengan mempratikkan corak bertahan secara kompak berjaya menghalang barisan serangan skuad Harimau Selatan bagi menamatkan babak pertama tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Forestieri terlepas peluang untuk merungkai jaringan pada minit ke-50 selepas bola sepakan percuma dari jarak 25 meter menyaksikan Mendoza sempat melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Malang buat anak didik Solari apabila gol yang dijaringkan Bergson pada miniit ke-56 dibatalkan oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin selepas pemain itu berada dalam keadaan ofsaid ketika melakukan susulan bola rembatan Arif Aiman yang terkena tiang gol.

Selepas memerah segala keringat menggempur benteng skuad The City Boys akhirnya gol yang dinanti menjelma pada minit ke-65 selepas Shio Hong Wan melakukan rembatan dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mendoza untuk meletak JDT mendahului 1-0.

Gegak gempita sorakan penyokong JDT menyambut jaringan kedua pada minit ke-74 selepas Leandro Velazquez yang tidak dikawal merembat bola di antara Sebastian Avanzini dan Kamal Azizi Zabri untuk meletak skuad Harimau Selatan selesa mendahului 2-0 dan jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 11:09 PM