AFP

Sydney: Korea Selatan berharap ‘pisang tidak berbuah dua kali’ apabila menentang Iraq pada separuh akhir Piala Asia hari ini selepas menerima tentangan sengit sebelum berada dalam kelompok empat pasukan terakhir.

Korea Selatan gagal memenangi kejohanan terbesar Asia itu sejak 1960, janggal buat negara yang mempunyai sejarah membanggakan dalam bola sepak dan pencapaian tersohor melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

Jurulatih Uli Stielike cuba mengetepikan senarai panjang kecederaan melanda pasukannya pada perlawanan hari ini, ketika memori kejayaan Iraq menjulang Piala Asia 2007 terus menghantui Red Devils.

Korea Selatan dikejutkan Iraq pada separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti, yang seterusnya menewaskan Arab Saudi pada final di Jakarta dan menyaksikan penyerang lincah, Younis Mahmoud melakukan tandukan kemenangan untuk menceriakan negara dilanda perang itu.

“Ada banyak sejarah dengan Korea,” kata jurulatih Iraq Radhi Shenaishil. “Ada banyak keputusan positif buat Iraq. Kami kekurangan sehari untuk proses pemulihan berbanding lawan, namun empat pasukan terakhir mempunyai peluang sama menjulang trofi.”

Persediaan Iraq terganggu selepas Iran melakukan bantahan kepada penganjur kejohanan pasukan itu menyenaraikan pemain tidak sah pada suku akhir dengan mendakwa Alaa Abdulzehra melakukan kesalahan doping tahun lalu.

Stielike akan memperkuatkan pasukannya dengan harapan pemain sensasi Son Heung Min mampu mengulangi aksi terbaik pada pertengahan minggu apabila meledak dua jaringan pada masa tambahan untuk menyingkirkan Uzbekistan, 2-0 pada suku akhir.

Penyerang digelar Sonaldo oleh rakan sepasukan di kelab Jerman, Bayer Leverkusen, mempamerkan persembahan luar biasa walaupun belum pulih sepenuhnya daripada selesema dan diusung meninggalkan padang.

Kecederaan menamatkan pembabitan pemain sayap Lee Chung Yong dan pemain tengah Koo Ja Cheol dengan Heung Min bergelut dengan kecergasan, Stielike memantau laporan harian daripada doktor pasukan dan sekali lagi perlu memperkemaskan pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:35 AM