HAALAND meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
HAALAND meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
Reuters

Manchester: Erling Haaland menjaringkan dua gol ketika juara bertahan, Manchester City mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan selepas menewaskan wakil Switzerland, Young Boys 3-0, awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola mengekalkan rekod 100 peratus mereka dan mendahului Kumpulan G dengan 12 mata daripada empat perlawanan.

Young Boys, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Sandro Lauper dilayangkan kad merah pada minit ke-53, berada di tempat keempat dengan hanya mengutip satu mata.

Haaland kini sudah meledak 39 gol dalam Liga Juara-Juara daripada 34 penampilan, dan berada di landasan terbaik untuk memecahkan rekod penampilan paling sedikit untuk mencapai 40 gol, iaitu 45 perlawanan dilakukan oleh Ruud van Nistelrooy.

Pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan buku lali ketika menewaskan Bournemouth 6-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan sama ada dia dapat beraksi pada hari ini.

City memberi tekanan sejak sepak mula dan Haaland memecah kebuntuan hasil sepakan penalti pada minit ke-23 selepas terjahan Lauper ke atas Matheus Nunes di dalam kotak penalti.

Phil Foden menggandakan gol City beberapa saat sebelum tamat separuh masa pertama menewaskan penjaga gol lawan, Anthony Racioppi menerusi rembatan rendah.

Gol kedua Haaland dan keempat dalam dua perlawanan menentang Young Boys, adalah menerusi rembatan kencang yang cantik menggunakan kaki kiri dari jarak 18 meter pada minit ke-51.

City tidak pernah tewas dalam 17 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara sejak tumbang 1-3 di tempat lawan kepada Real Madrid pada aksi separuh akhir, Mei tahun lalu.

"Dapat layak ketika masih berbaki dua perlawanan, itulah yang kami mahu lakukan," kata Grealish kepada TNT Sports.

"Dia (Guardiola) banyak membantu kami. Pada pendapat saya, dia adalah pengurus terbaik di dunia. Dia sudah membuktikannya selama ini. Anda boleh mempunyai pengurus terbaik di dunia tetapi anda juga memerlukan pasukan terbaik.

"Dan itulah yang kami miliki, pasukan yang cemerlang di atas padang tetapi di luar padang juga kami mempunyai pemain yang cemerlang," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:23 AM