HAALAND menjaringkan gol ketiga City menerusi rembatan menarik. FOTO AFP
HAALAND menjaringkan gol ketiga City menerusi rembatan menarik. FOTO AFP
AFP

Bern, Switzerland: Erling Haaland menamatkan kemarau jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara ketika membantu Manchester City mengekalkan rekod sempurna dengan menewaskan Young Boys 3-1, awal pagi tadi.

Skuad Pep Guardiola kini menang tiga perlawanan dalam Kumpulan C walaupun sebelum itu bimbang dengan padang rumput tiruan di Stadium Wankdorf.

"Perlawanan yang hebat," kata Guardiola kepada TNT Sports. "Saya amat berpuas hati dengan cara kami bermain. Kami perlukan satu lagi perlawanan untuk layak secara matematik dan kemudiannya dua lagi untuk tamatkan aksi kumpulan."

City boleh mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati apabila menentang Young Boys sekali lagi dan kali ini di tempat sendiri pada 7 November.

Haaland menjaringkan gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara menerusi penalti minit ke-67 selepas Mohamed Camara menjatuhkan Rodri dalam kotak penalti.

Peledak berbisa City itu menambah gol kedua apabila melepaskan rembatan menarik dengan kaki kiri ke penjuru gawang minit ke-86.

Haaland yang mencipta pelbagai rekod jaringan musim lalu mengatasi pencapaian Kylian Mbappe sebagai pemain termuda meledak 37 gol Liga Juara-Juara selepas penyerang Norway berusia 23 tahun 96 hari itu melakukannya dalam 33 perlawanan.

"Adalah penting mendapat peluang, mereka mahu dia gagal," kata Guardiola. "Minta maaf tapi dia akan terus menjaringkan gol dengan peluang dimiliki. Dia akan terus melakukannya sehingga hari terakhir dia bermain."

City terlepas beberapa peluang pada babak pertama sehinggalah Manuel Akanji memecah kebuntuan tiga minit selepas rehat apabila dia menolak masuk bola yang sebelum itu terkena palang oleh tandukan Ruben Dias.

Namun Young Boys menyamakan kedudukan empat minit selepas itu menerusi Meschack Elia yang tenang melambungkan bola melepasi jangkauan Ederson.

Julian Alvarez terlepas peluang mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-74 selepas golnya dibatalkan susulan VAR mendapati bola terkena tangan Jack Grealish terlebih dahulu.

Young Boys menduduki ketiga dalam kumpulan dengan satu mata daripada tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 7:10 AM