BACINA menjelaskan ia tidak sama sekali menjejaskan corak permainan anak buahnya. FOTO GHAZALI KORI
BACINA menjelaskan ia tidak sama sekali menjejaskan corak permainan anak buahnya. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Sememangnya Terengganu FC (TFC) layak ke pentas final Piala Malaysia pada musim ini, tahniah buat mereka.

"Saya harap Terengganu dapat menyaingi JDT (Johor Darul Ta'zim) untuk merangkul trofi," kata pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Nenad Bacina ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak selepas tamat perlawanan malam tadi.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata demikian selepas pasukannya terpaksa akur dengan kekuatan skuad bimbingan rakan senegaranya, Tomislav Steinbruckner selepas tumpas 1-2 sekali gus menjadikan agregat 2-4.

Pada perlawanan itu, penyerang import TFC, Ivan Mamut berjaya mengotakan janjinya untuk menjadi watak pemusnah apabila meledak dua gol pada setiap babak manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Romel Morales pada babak kedua perlawanan.

Mengulas perlawanan itu, jurulatih berusia 52 tahun akui beliau sudah mengatur strategi lebih ampuh untuk menyaingi tuan rumah selepas ketinggalan 1-2 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.

Namun jelasnya, nasib tidak menyebelahi pasukannya sebelum terpaksa akur selepas tumpas dengan jaringan yang sama di depan lebih 25,000 peminat setia skuad Penyu yang sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada anak buahnya.

"Kami datang ke sini (Kuala Terengganu) dengan strategi tertentu untuk memadam defisit satu gol, kami lihat pada awal permainan peluang untuk menjaringkan gol tetap ada, tapi malangnya tiada jaringan dihasilkan pada babak pertama perlawanan, sebaliknya lawan berjaya meledak gol.

"Pada babak kedua selepas ketinggalan dengan satu gol, saya minta pemain fokus dengan mengamalkan corak permainan lebih menyerang, akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 sekali gus berjaya membangkitkan semangat pemain untuk memburu jaringan seterusnya.

"Pemain kami berusaha untuk menambah jaringan, namun lawan lebih bijak memanfaatkan peluang sebelum menjaringkan gol kedua sekali gus menyaksikan kami ketinggalan 1-2, tapi ketika itu pemain tidak mudah menyerah kalah sebaliknya terus berusaha untuk memburu gol, namun tidak berhasil," katanya.

Ketika ditanya adakah masalah tunggakan gaji menyebabkan fokus anak buahnya sedikit terganggu, Bacina menjelaskan ia tidak sama sekali menjejaskan corak permainan anak buahnya.

"Setiap pasukan ada masalahnya yang tersendiri, saya tidak lihat masalah itu (tunggakan gaji) mengganggu fokus mereka, pemain begitu profesional lagipun pihak pengurusan sudah berusaha mencuba yang terbaik bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 12:34 PM