ENRIQUE (kanan) puas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun tumpas 1-2 kepada Perancis. FOTO EPA
ENRIQUE (kanan) puas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun tumpas 1-2 kepada Perancis. FOTO EPA
AFP

Milan: Luis Enrique berkata beliau tetap gembira walaupun Sepanyol tumpas 1-2 kepada Perancis 1-2 dalam perlawanan akhir Liga Negara-Negara.

Sepanyol mendahului dalam aksi penuh menarik di San Siro di Milan melalui jaringan Mikel Oyarzabal pada pertengahan babak kedua namun tersentak dengan gol penyamaan Karim Benzema dan jaringan kemenangan Kylian Mbappe 10 minit sebelum aksi tamat.

Mereka berusaha keras untuk menjaringkan gol penyamaan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan namun dihalang oleh ketangkasan Hugo Lloris di hujung saingan.

"Kami berjaya mengalahkan juara Eropah dan berjaya memberi tentangan kepada juara Piala Dunia, jadi buat pemain dan pasukan ia satu perkembangan yang baik.

"Perkara paling penting ialah pasukan ini mengekalkan personaliti dan kemahuan untuk menang," kata Enrique.

Gol kemenangan Mbappe didakwa ofsaid oleh pemain Sepanyol namun Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan jaringan berkenaan.

Bagaimanapun, Enrique tidak mahu menghalakan kemarahan kepada pengadil, Anthony Taylor kerana fokus utama adalah kepada persembahan positif anak buahnya.

"Kami tidak dapat melihat sudut yang lebih jelas di atas padang namun saya rasa keputusan berkenaan sangat sukar.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa mengenai perkara itu. Saya lebih gemar tidak bercakap mengenai pengadil dan menumpukan kepada apa yang boleh saya kawal.

"Saya sudah menjadi jurulatih selama 10 tahun dan saya tidak bercakap mengenai pengadil. Saya tidak ada apa yang perlu diungkapkan, saya tumpu kepada mempersiapkan pasukan untuk beraksi sebaik mungkin dan menerima kemenangan atau kekalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 8:48 AM