PERLAWANAN antara Sheffield United menentang Manchester United - di Bramall Lane, Sheffield.
PERLAWANAN antara Sheffield United menentang Manchester United - di Bramall Lane, Sheffield.
AFP

London: Manchester United menewaskan Sheffield United 2-1 dalam aksi yang penuh emosi ketika kelab gergasi Liga Perdana itu mengucapkan "selamat tinggal" kepada pemain hebat kelab Bobby Charlton, yang meninggal dunia semalam.

Keluarga Charlton mengumumkan bahawa pemenang Piala Dunia England itu yang menikmati karier cemerlang bersama United, "meninggal dunia dengan aman awal pagi Sabtu" pada usia 86 tahun.

Penghormatan dari seluruh dunia bola sepak diberikan kepadanya dengan bekas pemain United dan kapten England David Beckham menyifatkan Charlton sebagai "wira negara".

Pemain Manchester United memberi penghormatan kepada Charlton sebelum sepak mula menentang kelab tercorot Sheffield United pada perlawanan di Bramall Lane.

Kapten Bruno Fernandes meletakkan kalungan bunga dan gambar bekas penyerang tengah itu dipaparkan pada skrin gergasi, manakala peminat melaungkan nama Charlton semasa perlawanan.

Pengurus United Erik ten Hag memuji penyokong atas penghormatan mereka.

"Ia hebat," katanya kepada Sky Sports. "Kami menunjukkan keprihatinan kami dan mengucapkan selamat tinggal, mengingati Bobby Charlton kerana apa yang dia lakukan adalah hebat.

"Dia cemerlang di atas padang dan di luar padang. Kami mahu mengingati Sir Bobby dan saya fikir kami melakukannya dengan cara yang baik."

United mendahului perlawanan pada minit ke-28 apabila Scott McTominay mengawal bola dan menemui sudut bawah dari jarak 12 ela.

Tetapi kedudukan itu hanya bertahan enam minit apabila Oli McBurnie menjaringkan gol dari sepakan penalti.

Ten Hag membuat tiga pertukaran dengan membawa masuk Anthony Martial, Alejandro Garnacho dan Christian Eriksen dalam usaha mereka untuk menang.

Pemain pertahanan United, Diogo Dalot meledak gol kemenangan pada minit ke-77 dengan rembatan hebat dari jarak jauh untuk membawa United ke tangga kelapan carta liga.

Dalam perlawanan lain yang berlangsung awal pagi tadi, Manchester City menewaskan Brighton 2-1 untuk kembali ke puncak Liga Perdana dan Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 di Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 8:31 AM