HOJLUND menyinar dalam saingan UCL untuk United.
HOJLUND menyinar dalam saingan UCL untuk United.
AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester United tiada masa memikirkan perasaan sentimental Rasmus Hojlund ketika berdepan adik kembarnya dan bekas kelab FC Copenhagen yang akan berkunjung ke Old Trafford, awal pagi Rabu ini.

Red Devils sangat memerlukan kemenangan dalam perlawanan yang masih terkesan dengan kematian Bobby Charlton selain menghidupkan kempen Liga Juara-Juara (UCL) mereka.

Dianggap pemain terhebat, Charlton meninggal dunia pada usia 86 tahun Sabtu lalu dan United mahu menghadiahkan kemenangan kepada legenda yang meledak 249 gol dalam 758 perlawanan untuk United itu.

Skuad Ten Hag perlukan lonjakan moral untuk menaikkan semangat mereka selepas tumpas dua perlawanan awal UCL buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Hojlund muncul antara pemain menjadi sandaran selepas tewas di tangan Bayern Munich dan Galatasaray yang menyaksikan pemain Denmark terbabit meledak tiga gol dalam dua aksi pertama penampilan di Liga Juara-Juara.

Perpindahan bernilai £64 juta (RM371 juta) ke United dari Atalanta pada Ogos terbukti berbaloi buat pemain berusia 20 tahun itu yang Copenhagen menjualnya dengan harga hanya £1.7 juta (RM9.87 juta) kepada Sturm Graz pada Januari tahun lalu.

Bapanya mengkritik kekurangan minit perlawanan Hojlung ketika beraksi bersama juara Denmark itu sebelum meninggalkan negaranya.

"Dia sangat kurang diberi peluang," kata Anders Hojlund, bekas pemain profesional kepada media.

"Dia menghabiskan enam bulan dalam skuad utama di mana dia hanya bermain 10, 12 atau 15 minit dan disuruh berlari segenap padang."

Tetapi masih ada dua ahli keluarga Hojlund di Copenhagen berusia 18 tahun, Emil dan Oscar yang berhasrat mengikut jejak abang mereka.

Pemain tengah Oscar dijangka tersenarai dalam skuad ke Old Trafford selepas menyerlah ketika menentang Galatasaray.

Emil pula mungkin terpaksa menunggu peluangnya menentang Ramus selepas dia lebih banyak beraksi untuk skuad bawah 19 tahun.

Walaupun hadir di Manchester sebagai bakat baharu yang masih perlu belajar banyak perkara, United tetap mempertaruhakn Hojlund untuk mengubah nasib pasukan yang bergelut dengan prestasi.

Hanya pemain tengah Casemiro menjaringkan lebih daripada tiga gol milik Hojlund musim ini ketika barisan penyerang Ten Hag ketumpulan penyudah.

Marcus Rashford hanya menjaringkan satu gol dan masih gagal mengulangi sentuhan musim lalu yang menyaksikan dia meledak 30 jaringan sekali gus meningkatkan tekanan ke atas rakan sepasukan baharunya itu.

Hojlund masih belum menjaringkan gol di Liga Perdana Inggeris tetapi gabungan kekuatan dan kepantasannya menjadi taruhan United yang memilih pemain muda itu daripada Harry Kane sebagai pemilik baharu jersi nombor sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 11:17 AM