PENYOKONG meletakkan bunga di depan tugu George Best, Denis Law dan Bobby Charlton di luar Old Trafford. FOTO Reuters
PENYOKONG meletakkan bunga di depan tugu George Best, Denis Law dan Bobby Charlton di luar Old Trafford. FOTO Reuters
Agensi

Manchester: Peminat Manchester United berpusu-pusu ke Old Trafford untuk memberi penghormatan kepada Sir Bobby Charlton yang meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Buku ucapan takziah dibuka pada pukul 10 pagi hari ini di Suite Antarabangsa dan penyokong meletakkan bunga dan selendang serta meninggalkan mesej untuk salah seorang legenda mereka yang paling terkenal.

Satu nota berbunyi: "Terima kasih Sir Bobby, seorang wira kepada keluarga bola sepak sedunia," manakala mesej daripada kumpulan peminat The 1958 berkata: "Sejarah, maruah dan integriti adalah apa yang anda berikan kepada kelab hebat kami. Janji kami kepada anda adalah untuk memastikan ia kekal."

Charlton ialah ahli penting pasukan England yang memenangi Piala Dunia 1966 dan turut menikmati kejayaan besar di peringkat kelab bersama United, yang menjadi kelab England pertama memenangi Piala Eropah pada 1968.

Keluarganya mengumumkan pada petang semalam bahawa beliau telah meninggal dunia dengan tenang pada awal pagi dikelilingi oleh keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 8:25 PM