RASHFORD meraikan jaringannya. FOTO Reuters
RASHFORD meraikan jaringannya. FOTO Reuters
Reuters

London: Jaringan Christian Eriksen dan Marcus Rashford memastikan Manchester United meraih kemenangan 2-0 ke atas Burnley pada pusingan keempat Piala Liga manakala pasukan divisyen ketiga, Charlton Athletic menyingkirkan Brighton & Hove Albion menerusi penentuan penalti.

Beraksi buat kali pertama selepas kempen Piala Dunia, United di depan selepas 27 minit permainan apabila Eriksen menyempurnakan sepakan penjuru Aaron Wan-Bissaka.

Skuad bimbingan Erik ten Hag yang menampilkan beberapa pemain beraksi di Piala Dunia Qatar, berpeluang menambah gol kedua namun rembatan Anthony Martial berjaya dinafikan penjaga gol Burnley, Bailey Peacock-Farrell.

Burnley yang memenangi Liga Kejuaraan ketika ini berpeluang untuk menyamakan kedudukan tetapi Marcus Rashford menjadikan kedudukan 2-0 menerusi gerakan solo.

Ia adalah perlawanan pertama Rashford sejak England tersingkir pada suku akhir Piala Dunia kepada Perancis.

"Ia pastinya mengecewakan apabila tersingkir di Piala Dunia dan anda perlu bangkit selepas itu.

"Tiada masa untuk mengasihani diri sendiri. Anda perlu meraih keputusan yang bagus dan bersyukur kami melakukannya hari ini."

Ten Hag pula menambah: "Masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi saya gembira dengan kemenangan ini. Pemain dilihat dahagakan kemenangan selepas rehat Piala Dunia."

Pasukan Ligue One, Charlton pula mengejutkan Brighton yang menduduki tangga ketujuh Liga Perdana ketika ini.

Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan sebelum perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti yang memihak kepada Charlton 4-3.

Juara empat kali, Nottingham Forest menewaskan pasukan Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers 4-1 selepas penyerang, Brennan Johnson meletakkan pasukan Liga Perdana itu di depan menerusi sepakan penalti.

Blackburn menyamakan kedudukan sebelum berakhir separuh masa pertama menerusi pemain pertahanan, Scott Wharton namun Jesse Lingard kembali meletakkan Forest di depan pada babak kedua.

Taiwo Awoniyi serta Johnson melengkapkan kemenangan bergaya Forest apabila masing-masing meledak gol selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 7:14 AM