BERGSON (kanan) menjaringkan dua gol buat JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERGSON (kanan) menjaringkan dua gol buat JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke final Piala Malaysia dengan bergaya selepas membelasah Perak FC 8-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi, sekali gus menjadikan agregat 12-2.

Lawan JDT di pentas final bakal ditentukan apabila Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC membuat perhitungan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, malam esok ketika skuad kendalian Tomislav Steinbruckner memiliki kelebihan jaringan 2-1.

Pada aksi di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan itu, barisan pemain Esteban Solari yang selesa dengan kemenangan 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Ipoh, 19 Oktober lalu langsung tidak memberi ruang buat skuad kendalian Yusri Che Lah.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas Arif Aiman Hanapi memperdayakan tiga pertahanan pelawat sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Bergson Da Silva jelas berada di dalam kelas tersendiri apabila mencetak gol kedua JDT pada minit ke-27 menerusi rembatan kencang ke penjuru kiri gawang.

SYAFIQ (kiri) memegang bola ketika meraikan gol dijaringkannya bersama rakan sepasukan. FOTO  NUR AISYAH MAZALAN
SYAFIQ (kiri) memegang bola ketika meraikan gol dijaringkannya bersama rakan sepasukan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Anak didik Solari kian selesa pada minit ke-32 selepas Heberty Fernandes merembat deras dari luar kotak penalti untuk mendahului 3-0 dan agregat 7-1.

Fernando Forestieri menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-52 sebelum Bergson mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-60.

Dua minit kemudian, pemain gantian Syafiq Ahmad mencipta gol selepas menanduk bola hasil umpanan Oscar Arribas untuk kedudukan 6-0.

Kesilapan Luka Milunovic menanduk bola ke arah gawang sendiri menjadi mimpi ngeri pada minit ke-77 apabila Syafiq yang tidak dikawal menyambar bola dan mudah menolak masuk untuk meletakkan kedudukan 7-0.

Pda masa kecederaan, Fernandes mencetak gol kedua peribadi bagi melengkapkan kemenangan bergaya JDT 8-0 manakala Perak FC meraih gol saguhati menerusi Firdaus Ahmad Fuad dan JDT layak ke final dengan agregat 12-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 11:08 PM