PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menjelaskan bahawa skuad itu tidak boleh lagi terlepas mata pada baki empat perlawanan Liga Super selepas ini.

Bekas pemain Singapura itu berkata, kemenangan ke atas PDRM FC pada 8 November ini, bakal menentukan kedudukan dalam saingan liga musim ini.

"Bagi saya, kemenangan ke atas PDRM perlu kerana bakal menentukan kedudukan dalam saingan liga antara tempat ketiga dan kelima.

"Setakat ini, PDRM tidak boleh mengejar Sri Pahang tetapi Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) antara pencabar.

"Manakala, Kedah darul Aman (KDA) FC sudah berada di hadapan apabila berada di kedudukan ketiga dengan mendahului enam mata iaitu 50 mata berbanding Sri Pahang dengan 44 mata.

"Sebab itu saya katakan bahawa kami akan berusaha untuk mengutip mata maksimum daripada baki empat perlawanan," katanya.

Berdasarkan jadual perlawanan, skuad kendalian Fandi itu akan berdepan PDRM pada 8 November ini, diikuti Penang FC (26 November), Johor Darul Ta'zim (3 Disember) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (17 Disember).

Ketika ini, Sri Pahang yang bermain 22 perlawanan berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengutip 44 mata.

Baru-baru ini, pengurusan Sri Pahang FC menyasar skuad Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan tiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 2:52 PM