HARRY Wilson meraikan jaringan keduanya. FOTO REUTERS
HARRY Wilson meraikan jaringan keduanya. FOTO REUTERS
AFP

Cardiff: Wales memberi nafas baharu kepada peluang mereka untuk layak ke Euro 2024 apabila dua gol Harry Wilson memastikan kemenangan 2-1 ke atas Croatia di Cardiff, awal pagi tadi.

Anak buah Rob Page kini merampas tempat kedua dalam Kumpulan D mengatasi Croatia yang kini berisiko gagal meraih tiket kejohanan utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 2010.

Kedudukan Page diragui selepas permulaan buruk Wales pada kempen kelayakan kali ini.

Kekalahan 2-4 di tempat sendiri kepada Armenia dan tewas 0-2 di tangan pendahulu kumpulan, Turkiye pada Jun lalu seakan menamatkan harapan mereka untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan Eropah itu buat kali ketiga berturut-turut.

"Tindakan membuktikan segala-galanya berbanding kata-kata," kata Page membalas kritikan dilemparkan kepadanya.

"Saya muak dan bosan kerana asyik perlu menjawab soalan mengenai masa depan saya. Mari kita bercakap mengenai pemain dan persembahan yang mereka lakukan di tengah padang.

"Saya menjadi lebih emosi kerana saya amat bangga dengan mereka dan mereka berhak menerima setiap pujian. Kami tidak sabar untuk berdepan perlawanan seterusnya," katanya lagi.

Kemenangan 4-0 Turkiye ke atas Latvia memastikan kemaraan mereka sekali gus meninggalkan Wales dan Croatia untuk merebut tangga kedua dan kelayakan automatik ke Jerman tahun depan.

Kedua-dua pasukan terikat dengan 10 mata, namun Wales menikmati kelebihan rekod pertembungan selepas seri 1-1 di Split sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 9:36 AM