MBAPPE meledak hatrik buat Perancis. -FOTO AFP
MBAPPE meledak hatrik buat Perancis. -FOTO AFP
AFP

Paris: Kylian Mbappe menjaringkan hatrik ketika Perancis mencatatkan rekod baru membelasah Gibraltar yang beraksi 10 pemain dengan 14-0.

Turut cemerlang adalah Belanda, Switzerland dan Romania yang masing-masing kini sudahpun mengesahkan tempat ke Euro 2024.

Les Bleus mencatatkan rekod baru margin kemenangan dalam kempen kelayakan Eropah dan rekod kebangsaan di Nice.

Namun kemenangan itu menimbulkan persoalan baru mengenai keperluan membabitkan pertembungan antara gergasi dan pasukan kerdil dalam kalendar perlawanan yang padat.

"Kami melakukan segala-galanya untuk mendapatkan jumlah jaringan ini. Itulah yang kami cari dalam pasukan ini," kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.

"Kami akan menikmati apa yang kami lakukan malam ini, kami tidak akan pergi ke Greece untuk bersiar-siar. Ia adalah matlamat baharu.

"Malam ini adalah malam yang sempurna selain daripada kecederaan Warren (Zaire-Emery) tetapi ia bukan masalah besar, tapi mungkin juga lebih teruk."​

Gol sendiri Ethan Santos dan Marcus Thuram terlebih dahulu membuka jaringan buat Perancis sebelum Warren Zaire-Emery yang berusia 17 tahun menjaringkan gol.

Ia adalah sumbangan terakhir Zaire-Emery apabila pemain tengah PSG itu terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan buku lali tetapi kad merah untuk Santos selepas hanya 18 minit beraksi membolehkan finalis Piala Dunia itu kenduri gol.

Penalti Mbappe menjadikan kedudukan 4-0 dan Jonathan Clauss, Kingsley Coman dan Youssouf Fofana semuanya menjaringkan gol sebelum separuh masa.

Adrien Rabiot, Coman meledak sekali lagi dan Ousmane Dembele mengekalkan kedudukan sebelum Mbappe menjaringkan dua gol untuk melakar hatriknya dengan bergaya.

Kapten Perancis itu berjaya melepasi penjaga gol Gibraltar Dayle Coleing untuk mencatatkan gol ke-300 dalam kariernya pada usia hanya 24 tahun.

Olivier Giroud kemudian dimasukkan dari bangku simpanan turut berjaya menjaringkan dua gol terakhir dan memastikan sejarah baru dalam kempen kelayakan berjaya direkodkan.

Sementara itu hanya satu gol sudah memadai untuk memastikan Belanda menyertai Perancis dalam kelayakan dari Kumpulan B dengan kemenangan 1-0 ke atas Republik Ireland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 8:29 AM