KYLIAN Mbappe. FOTO Agensi
KYLIAN Mbappe. FOTO Agensi
AFP

Paris: Ketidakpastian mengenai masa depan Kylian Mbappe membayangi bola sepak Perancis menjelang musim baharu Ligue 1, yang bermula hujung minggu ini.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu memenangi anugerah pemain terbaik Perancis empat kali berturut-turut dan menjadi penjaring terbanyak Ligue 1 dalam lima musim berturut-turut, tetapi pertikaian kontraknya dengan juara bertahan itu mendominasi berita utama sepanjang musim panas.

Mbappe enggan menandatangani lanjutan kontrak dengan PSG sekali gus bermakna dia boleh meninggalkan kelab secara percuma tahun depan, dengan Real Madrid sudah lama dilihat sebagai destinasi pilihannya.

PSG mahu menjualnya sekarang dengan yuran perpindahan yang besar selepas mendapatkannya dari Monaco pada 2017 menerusi perpindahan berjumlah 180 juta euro (RM903.9 juta).

Buat masa ini Mbappe kekal di Paris tetapi kurang menjalani latihan bersama pasukan utama.

"Kami tidak boleh membiarkan pemain terbaik dunia hari ini pergi secara percuma. Ia mustahil," kata presiden kelab milik Qatar itu, Nasser al-Khelaifi, bulan lalu.

Situasi itu pastinya sukar untuk jurulatih baharu PSG, Luis Enrique yang dilantik bagi menggantikan Christophe Galtier.

Tidak kira apa yang berlaku terhadap Mbappe, PSG kini berwajah baharu selepas bergelut untuk mengesahkan kejuaraan musim lalu selain gagal mempamerkan aksi cemerlang di pentas Eropah.

Lionel Messi sudah meninggalkan kelab itu, begitu juga Sergio Ramos. Mereka memerlukan penyerang tulen walaupun sekiranya Mbappe kekal, dan penyerang Portugal, Goncalo Ramos sudah menyertai kelab itu dari Benfica.

Ketibaan Lucas Hernandez, Milan Skriniar, Manuel Ugarte, Lee Kang-in dan Marco Asensio bermakna, PSG dilihat kukuh di semua posisi.

"Saya boleh kekal di Bayern Munich, tetapi minat yang ditunjukkan PSG terhadap saya, cita-cita mereka dan projek yang mereka cuba sediakan untuk masa depan, meyakinkan saya untuk datang," kata Hernandez kepada harian sukan L'Equipe.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 10:10 AM