PEMAIN Real, Lucas Vázquez cuba mencabar pemain United, Donny Van De Beek. FOTO AFP
PEMAIN Real, Lucas Vázquez cuba mencabar pemain United, Donny Van De Beek. FOTO AFP
AFP

Houston: Jude Bellingham menjaringkan gol pertama dalam kariernya bersama Real Madrid ketika kelab gergasi Sepanyol itu menewaskan Manchester United 2-0 dalam aksi persahabatan pramusim di Houston, hari ini.

Pemain tengah England itu yang menyertai Madrid dari Borussia Dortmund menerusi perpindahan bernilai AS$114 juta (RM516.3 juta), Jun lalu, membuka jaringan dengan penyudah menarik selepas hanya enam minit perlawanan.

Pertahanan Madrid, Antonio Rudiger memanfaatkan kealpaan barisan pertahanan United dengan melakukan hantaran cantik kepada Bellingham.

Pemain berusia 20 tahun itu kemudian meledak gol menewaskan penjaga gol baharu United, Andre Onana sekali gus meletakkan Madrid di depan.

Pemain antarabangsa Brazil, Vinicius Jr berpeluang menambah gol selepas itu tetapi rembatannya dari jarak lapan meter sedikit tersasar.

Sementara itu, United hampir bangkit menyamakan kedudukan selepas 36 minit, tetapi Marcus Rashford tidak dapat mencari sasaran tepat dari sudut yang sukar.

Dengan Madrid mengawal permainan, kekecewaan United memuncak sejurus sebelum separuh masa apabila Lisandro Martinez mengasari Bellingham yang menyebabkannya dilayangkan kad kuning.

United dilihat mempamer aksi lebih baik pada babak kedua, namun Madrid juga mencipta peluang yang lebih baik, dengan Militao hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-69 namun rembatannya tidak berhasil menyumbang gol.

Madrid akhirnya mengesahkan kemenangan pada minit ke-89 selepas Lucas Vazquez melakukan hantaran cantik kepada penyerang veteran, Joselu yang kemudian menyempurnakannya untuk kedudukan muktamad Madrid menang 2-0 di Stadium NRG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 12:16 PM