MBAPPE sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO FAIL REUTERS
MBAPPE sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO FAIL REUTERS
Reuters

Madrid: Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti menolak kemungkinan mengikat Kylian Mbappe sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup, minggu depan, ketika penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu terus dikaitkan dengan kelab gergasi La Liga itu.

Ancelotti menegaskan Real tidak mungkin akan melakukan urusan perpindahan dalam jendela semasa yang tamat pada 1 September ini.

Apabila ditanya mengenai penyerang Perancis, Mbappe, beliau memberitahu wartawan: "Tidak, saya menyatakan tidak 100 peratus. Saya fikir skuad kami sudah ditutup dan pemain kami memikirkan mengenai musim ini."

Jendela perpindahan masih dibuka di Arab Saudi selepas 1 September, bermakna kelab dari negara Teluk itu masih boleh mendapatkan khidmat pemain terbaik Eropah itu, namun bos Real itu tidak bimbang.

"Seseorang mungkin berubah fikiran, tetapi saya tidak takut mengenainya," katanya menjelang aksi La Liga Real di Celta Vigo, awal pagi Sabtu ini.

Pemain tengah, Luka Modric tidak bermain dua aksi pertama Real dalam liga, sekali gus mencetus spekulasi pemain Croatia itu tidak gembira dengan situasi sesama dan perkara itu dinafikan Ancelotti.

"Luka sudah memutuskan masa depannya. Dia tiada masalah, dia akan menyumbang," kata Ancelotti.

"Ia satu situasi istimewa buat setiap orang, baginya agak pelik tidak bermain sejak minit pertama, tetapi dia akan menyumbang seperti biasa."

Ancelotti berkata, pemain baharu Kepa Arrizabalaga, yang menyertai secara pinjaman dari Chelsea, akan membuat penampilan sulung di pintu gol Real bagi aksi pertama mereka di laman sendiri, musim ini.

Andriy Lunin menjaga gawang bagi dua kemenangan pertama kempen selepas Thibaut Courtois menjalani pembedahan susulan kecederaan lutut kirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 10:12 PM