Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti memberi arahan kepada Hazard (kiri) dalam salah satu aksi La Liga. FOTO Agensi
Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti memberi arahan kepada Hazard (kiri) dalam salah satu aksi La Liga. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Carlo Ancelotti berkata Eden Hazard diketepikan daripada kesebelasan utama Real Madrid kerana dia lebih gemar memilih pemain lain.

Hazard menempuhi tempoh sukar sejak dua tahun lalu apabila dibelenggu masalah kecederaan selepas menyertai kelab berkenaan dari Chelsea dengan nilai 100 juta euro (RM481 juta).

Dia juga diletakkan di bangku simpanan ketika Madrid menang 2-1 mengatasi Barcelona di Camp Nou, Ahad lalu.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya beraksi empat kali sebagai kesebelasan utama musim ini di bawah kendalian Ancelotti.

Malah kecederaan otot menjadi penyebab dia tidak dapat beraksi awal bulan ini.

Ancelotti berkata Hazard kini boleh bermain semula tetapi Vinicius Junior dan Rodrygo dipilih berdasarkan kemampuan mereka.

"Dia mempunyai segalanya," kata Ancelotti menjelang aksi Madrid berdepan Osasuna.

"Namun dia perlu meningkatkannya. Dia tidak bermain tetapi memiliki semua perwatakan sebagai pemain Real Madrid - kualiti dan motivasi - tetapi adakalanya jurulatih memilih pemain lain."

Real Madrid berada di kedudukan kedua dalam La Liga, satu mata di belakang Real Sociedad dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 10:33 AM