SHEIKH Jassim atasi persaingan Ratcliffe. FOTO Agensi
SHEIKH Jassim atasi persaingan Ratcliffe. FOTO Agensi
Agensi

London: Sheikh Jassim semakin hampir melengkapkan pengambil alihan Manchester United bernilai £6 bilion (RM35.58 bilion) menjelang pertengahan Oktober depan.

Keluarga Diraja Qatar itu mengatasi persaingan bilionair British Sir Jim Ratcliffe yang sebelum itu sedia membenarkan keluarga Glazer mengekalkan pemilikan saham di Red Devils.

Tarikh sudah pun ditetapkan dan pengumuman mungkin seawal bulan depan.

Pasukan Sheikh Jassim kini melengkapkan proses seterusnya sebelum mereka menamatkan penguasaan 18 tahun keluarga Glazer manakala penyokong United berharap penjualan 100 peratus bagi menghapuskan terus 'legasi' pemilik dari Amerika Syarikat itu.

Keluarga Glazer mahu meneruskan pegangan saham tetapi diberikan amaran oleh figura senior Old Trafford yang bimbang tindak balas penyokong.

Sheikh Jassim pula berjanji membayar hutang United berjumlah £725 juta (RM4.29 bilion) yang juga tertinggi sejak 2010 selain menaik taraf Old Trafford dan pusat latihan Carrington selain meneruskan pelaburan dalam pasukan.

Pengambil alihan itu bakal menamatkan spekulasi berpanjangan selepas kelab diumum untuk dijual pada November lalu.

Namun tidak semua berita baik untuk United selepas pemain tengah Mason Mount terlepas dua aksi Liga Perdana Inggeris menentang Nottingham Forest dan Arsenal akibat kecederaan ketika menentang Tottenham pada Sabtu lalu.

Sementara itu, kelab juga berminat mendapatkan pemain Fenerbahce Altay Bayindir, 25, sebagai penjaga gol kedua selepas Andre Onana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 10:09 AM