Agensi

New York: Nilai saham Manchester United di New York Stock Exchange jatuh lebih £600 juta (RM3.52 bilion) atau 16 peratus selepas media British melaporkan pemilik kelab menangguhkan penjualan kelab terbabit.

Difahamkan pemilik United, keluarga Glazer tidak gembira dengan bidaan diterima untuk kelab Old Trafford itu sepanjang tempoh rundingan sekali gus mahu menghentikan proses penjualan dengan harapan mendapat bidaan lebih tinggi.

Nilai pasaran saham kelab itu di New York Stock Exchange merosot daripada £3 bilion (RM17.61 bilion) kepada £2.4 bilion (RM14 bilion) pada hari pertama dagangan semalam susulan Isnin adalah Hari Buruh di Amerika Syarikat (AS).

Keluarga terbabit mengumumkan tahun lalu mereka sedia menjual sama ada sebahagian atau keseluruhan kelab dengan hanya Sheikh Jassim dari Qatar dan usahawan Britain Sir Jim Ratcliffe muncul pembida serius tetapi gagal menepati pemilik United.

Mereka kini percaya dapat harga yang lebih baik pada 2025 apabila Piala Dunia Kelab Fifa menyaksikan penambahan kepada 32 pasukan selain penganjuran Piala Dunia di AS dapat menarik perhatian bilionair yang melabur di Liga Perdana Inggeris (EPL). Glazer mahu menjual United dengan harga antara £7 bilion (RM41 bilion) sehingga £10 bilion (RM58 bilion).

Mereka tidak popular dalam kalangan penyokong United yang mendakwa keluarga itu meningkatkan hutang pasukan selain tidak membuat pelaburan yan cukup bagi membolehkan kelab kekal kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 12:07 PM