AKSI antara Kelantan FC dan Kuching City sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Kelantan FC dan Kuching City sebentar tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelantan FC akhirnya merasai nikmat satu mata dalam perlawanan Liga Super selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Kuching City FC Stadium Negeri, sebentar tadi.

Tewas lebih 10 perlawanan berturut-turut menyaksikan skuad The Red Warriors dapat membawa pulang satu mata sekali gus berjaya menyekat impian Kuching City FC untuk meraih kemenangan pertama di laman sendiri.

Kelantan FC bermula agresif dan tekanan di garisan tinggi membantu mereka mendapatkan bola sebelum Mohamad Hafizan Ghazali melepaskan rembatan jarak jauh menewaskan Norazlan Razali untuk gol pembukaan seawal minit keempat.

Kuching City FC jelas lebih banyak memegang bola dan melakukan serangan namun berjaya dipatahkan benteng Kelantan FC yang bertahan dengan sangat kemas.

Peluang Kuching City FC untuk beroleh gol penyamaan menerusi percubaan Mohamad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-26 ditampan keluar penjaga gol pelawat, Muhammad Johan Shahzidane Tendot Johari Tendot.

Tuan rumah terus cuba 'mengetuk' pintu gol Kelantan FC dan Johan terus cemerlang apabila menafikan sepakan gunting Abu Kamara tiga minit selepas babak kedua bersambung.

Selepas beberapa kali dikecewakan, Kamara akhirnya menemui jaringan pada minit ke-58 sekali gus menyamakan kedudukan sebelum menyempurnakan penalti pada minit ke-65 untuk Kuching City FC memimpin perlawanan.

Norazlan bagaimanapun sekali lagi tertewas dengan percubaan jarak jauh, kali ini menerusi jaringan Natanale Siringo Ringo pada minit ke-79 sekali gus kedudukan kembali seimbang 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 10:40 PM