COOLS pemain kacukan terbaru Harimau Malaya. FOTO FAM
COOLS pemain kacukan terbaru Harimau Malaya. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Misi pemburuan pemain kacukan yang berkelana di luar negara akan diteruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan memantau dan mencari individu berbakat untuk diserap dalam skuad Harimau Malaya.

Presidennya FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak itu tidak pernah menutup peluang pemain kacukan lain untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Terutama selepas selepas Malaysia berjaya mendapatkan khidmat seorang lagi pemain berdarah kacukan, Dion Cools.

Kemasukan Cools yang beraksi dalam Liga Juara Juara Eropah bersama kelab Denmark, Midtjylland menyaksikan skuad kebangsaan kini diperkuat dengan tujuh pemain berdarah kacukan.

Selain Cools, enam lagi pemain berdarah kacukan yang menyarung jersi skuad kebangsaan adalah Sam Sommerville, Matt Davies, Dominic Tan, La Vere Corbin Ong, Junior Eldstal dan Brendan Gan.

"Kita harap banyak lagi pemain (berdarah kacukan) mungkin Wan Kuzain, kita dapat tahu hari ini (kelmarin) ada 'tweet' di Twitter (dia) macam berminat. Kita pernah ikuti perkembangannya dalam setahun ke dua tahun lepas.

"Kita sedia menerima pemain berkualiti untuk memberi peluang kepada barisan kejurulatihan memilih bagi membarisi skuad kebangsaan.

"Bila kita dapat itu (pemain kacukan), kita sama-sama berdoa dan harapkan pasukan ini berjaya," kata Hamidin ketika meninjau sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai, semalam.

Terdahulu, kehadiran Cools bersama skuad kebangsaan tampak menarik minat Wan Kuzain Wan Kamal yang ketika ini beraksi bersama Rio Grande Valley di Amerika Syarikat (AS).

Menerusi ciapan di Twitternya, Kuzain yang pernah menyertai sesi latihan skuad Bawah 22 tahun (B-22) untuk Sukan Sea 2019 meletakkan emoji sedang berfikir seolah-olah menandakan dirinya sedang keliru atau berbelah bagi.

Dia turut meletakkan berita mengenai Cools dari laman sesawang FAM di ciapan itu dan emojinya itu menarik perhatian ramai peminat bola sepak negara yang berhasrat melihat Kuzain mengikut jejak langkah Cools.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:35 PM