RONALDO diberi penghormatan oleh  Guinness World Records ketika menentang Iceland.
RONALDO diberi penghormatan oleh Guinness World Records ketika menentang Iceland.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo menggesa jurugambar tidak mengambil fotonya terlalu dekat ketika sidang media bersama wartawan hanya kerana kedut di wajah bekas pemain Manchester United itu.

Bintang Portugal berusia 38 tahun itu mencipta satu lagi rekod dalam kariernya apabila meraih kap antarabangsa ke-200 ketika menewaskan Iceland 1-0 semalam dan lebih manis dia menjaringkan gol kemenangan minit ke-89.

Selepas perlawanan Ronaldo melengkapkan tugasnya dengan media namun ketika krew televisyen menyediakan peralatan untuk sesi temu bual, Ronaldo berkata sesuatu yang mengejutkan.

Menurutnya: "Jangan terlalu rapat, banyak sangat kedut ni."

Klip video ringkas itu pantas mendapat reaksi peminat di media sosial yang kebanyakannya bersimpati dengan Ronaldo.

Seorang peminat berkata: "GOAT saya bertambah tua."

Seorang lagi berkata: "Ia sebenarnya menyedihkan."

Manakala yang ketiga menambah: "CR7 benar-benar semakin tua."

Ia bukan kali pertama Ronaldo memperkatakan kedutan di wajahnya.

Ketika artis Emanuel Santos mahu membuat patung emas Ronaldo pada 2017, dia mendedahkan legenda Real Madrid dan Manchester United cerewet dengan kedutan di wajahnya.

Santos berkata kepada media Portugal: "Dia hanya meminta saya menukar beberapa kedutan kerana ia memberikannya ekspresi tertentu di wajahnya ketika dia ketawa."

"Katanya, kedutan itu menjadikan dia tampak lebih tua dan meminta supaya ia dinipiskan supaya lebih lembut dan ceria."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 10:21 PM