FERNANDES muncul wira Portugal apabila meledakkan dua gol. -FOTO EPA
FERNANDES muncul wira Portugal apabila meledakkan dua gol. -FOTO EPA
Agensi

Porto: Cristiano Ronaldo mempunyai peluang terakhir untuk menjulang Piala Dunia selepas Portugal menewaskan Macedonia Utara 2-0 untuk mereka menempah tempat ke Qatar hujung tahun ini.

Piala Dunia adalah satu-satunya pertandingan yang pernah disertai oleh Ronaldo namun gagal dimenanginya.

Namun selepas menamatkan kisah dongeng Macedonia Utara di Porto, impian bintang Manchester United itu kini terbuka untuk direalisasikan.

Dalam aksi yang berlangsung itu, Ronaldo membantu rakan pasukan di United, Bruno Fernandes untuk gol pembukaan pada separuh masa pertama.

Fernades kemudiannya menjaringkan satu lagi gol ketika perlawanan berbaki 25 minit dan menjadi wira dan mendahului pemenang lima kali Ballon d'Or.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata: "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain atas sikap dan kualiti yang dipamerkan mereka.

"Kami mengawal perlawanan dengan cara yang sangat jelas.

"Sekarang, selepas memenangi Euro dan Piala Negara-Negara, kami mempunyai impian untuk membawa kegembiraan yang besar kepada Portugal," katanya.

Pada usia 37 tahun ini, Ronaldo bakal membuat penampilan kelima dan pastinya yang terakhir buat dirinya di Piala Dunia.

Dia sudahpun memenangi Euro 2016 tapi buat seorang pemain sepertinya pastinya dia cukup bersemangat untuk memenangi segala-galanya dan membuktikan bahawa dia adalah pemain terhebat sepanjang zaman.

Diego Maradona dan Pele berjaya melakukannya dan meninggalkan Ronaldo dan Lionel Messi untuk mengejar mendapatkan piala itu.

Kedua-duanya ikon zaman moden yang dinantikan aksi mereka di Qatar berazam untuk membuat penampilan terbaik di pentas paling hebat buat kali terakhir.

Pencapaian terbaik penyerang Manchester United itu ialah mara ke separuh akhir edisi 2006, sebelum Portugal tewas kepada Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 7:40 AM