MAGUIRE (tengah) antara pemain yang mungkin akan dijual. FOTO Reuters
MAGUIRE (tengah) antara pemain yang mungkin akan dijual. FOTO Reuters
Agensi

London: Manchester United bersedia bertindak kejam pada musim panas ini apabila dianggarkan 17 pemain berisiko untuk dijual bagi membolehkan Erik ten Hag memperkuatkan kewangan dalam usahanya membina semula kelab itu.

Penyingkiran yang memalukan dari Liga Europa di Seville awal pagi tadi hanya terus menambah tekanan kepada kelab bahawa mereka perlu mengikuti contoh Manchester City dan mengumpul wang melalui penjualan pemain untuk mengukuhkan pasukan.

City memperoleh keuntungan £20 juta (RM110 juta) pada jendela perpindahan pemain musim panas lalu walaupun sudah menandatangani Erling Haaland, Kalvin Phillips dan Manuel Akanji.

Pemain lain yang turut dilepaskan termasuk Raheem Sterling, Gabriel Jesus, Oleks Zinchenko dan beberapa pemain muda seperti Gavin Bazunu serta Romeo Lavia.

United kini dilihat akan melakukan tindakan sama memandangkan tekanan yang dihadapi semua kelab untuk menyesuaikan diri dengan peraturan fair play kewangan.

Tawaran akan dipertimbangkan untuk pemain antarabangsa berprofil tinggi, Harry Maguire, Victor Lindelof, Scott McTominay, Fred, Donny van de Beek dan Anthony Martial serta bek kanan, Aaron wan-Bissaka yang berharga £50 juta (RM275.2 juta) dari Crystal Palace.

Phil Jones dan Axel Tuanzebe akan tamat kontrak mereka sekali gus bakal meninggalkan pasukan manakala penjaga gol, Dean Henderson, yang dipinjamkan ke Nottingham Forest, juga boleh meninggalkan Old Trafford.

Keputusan mengenai masa depan kebanyakan pemain itu sudah diambil pada awal musim tetapi penurunan prestasi United dalam beberapa minggu kebelakangan ini meyakinkan lagi segala keputusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 8:44 PM