HABIB Haroon buru kemenangan kelima pasukannya. FOTO TFC
HABIB Haroon buru kemenangan kelima pasukannya. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan melakar tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super dan satu Piala FA bakal memberikan tonik berharga buat pemain Terengganu FC (TFC) untuk memburu kemenangan kelima berdepan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selasa ini.

Laungan keyakinan itu disuarakan kapten skuad Penyu, Habib Haroon yang akui pasukannya kini semakin menemui rentak permainan selepas mengharungi sembilan perlawanan termasuk dalam saingan Piala FA pusingan kedua, Jumaat lalu.

Jelas pemain kelahiran Bahrain berusia 23 tahun itu, keserasian bersama rakan sepasukannya semakin baik walaupun ada dalam kalangan pemain adalah muka baharu sekali gus menyaksikan skuadnya semakin mantap untuk terus mendaki kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun pemain yang berhijrah bersama skuad Penyu mulai pertengahan tahun 2021 akui dia dan rakan sepasukannya tidak boleh selesa menentang The Red Giants lebih-lebih lagi pasukan itu kini gah menghuni di tangga kedua liga.

Sebaliknya dia menuntut rakan sepasukannya agar beraksi mengikut perancangan jurulatih bagi memastikan tidak pulang dengan tangan kosong walaupun akui skuad kendalian Tan Cheng Hoe begitu liat untuk ditewaskan.

"Corak permainan kami kini semakin baik dan kami lebih bersedia menentang dengan semua kelab, tahun ini tidak sama berbanding tahun lepas, namun kami kembali berdisiplin untuk terus mengharungi saingan liga.

"Jadi menentang Selangor FC, kita tahu pasukan itu adalah antara kelab yang bagus dalam Liga M, namun kita akan cuba berikan yang terbaik untuk mengutip mata walaupun sedar bukan tugasan yang mudah untuk melakukannya.

"Lagipun kami mahu meneruskan momentum kemenangan kelima berturut-turut bagi mengelak keciciran mata lagi kerana jarak dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) agak jauh iaitu 11 mata," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Selepas lapan perlawanan liga, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kini menghuni di tangga keenam dengan mengutip 13 mata selepas merakam empat kemenangan, sekali seri dan tewas tiga kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 2:04 PM