GAYA Mintah selepas menjaringkan gol TFC ketika menentang KCFC. FOTO Bernama
GAYA Mintah selepas menjaringkan gol TFC ketika menentang KCFC. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun hanya mampu meledak dua jaringan daripada deretan peluang diperoleh, pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner tetap tabik pemainnya yang berjaya mengutip tiga mata pada aksi kelapan Liga Super menentang Kuching City FC (KCFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, semalam.

Malah jurulatih kelahiran Croatia itu menegaskan secara keseluruhan beliau tetap berpuas hati selepas menyaksikan anak buahnya bijak mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Dalam perlawanan itu, skuad Penyu gagal membelasah skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim selepas hanya merakam kemenangan 2-0 hasil dua jaringan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah pada setiap babak.

Kemenangan itu juga kejayaan keempat setakat ini dengan kutipan 10 mata termasuk terikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sebelum ini.

"Pemain kami cipta banyak peluang untuk jaringkan gol, saya boleh ingat semua peluang itu dan paling saya ingat apabila kami dihadiahkan sepakan penalti, namun gagal disudahkan oleh Habib Haroon.

"Bagaimanapun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan dua jaringan walaupun gagal melalui sepakan penalti, pemain kami semakin bagus dengan pasukan lawan tidak banyak gugat kami," jelas Steinbruckner.

Selepas lapan perlawanan, skuad Penyu kini menghuni tangga kelima liga, namun ketinggalan 11 mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kini gah di puncak liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 2:40 PM