LOCADIA (kiri) menjaringkan gol kedua pasukannya pada pusingan kelima Piala FA Inggeris menentang Derby di Brighton, malam ini. - FOTO AFP
LOCADIA (kiri) menjaringkan gol kedua pasukannya pada pusingan kelima Piala FA Inggeris menentang Derby di Brighton, malam ini. - FOTO AFP
AFP

BRIGHTON layak ke suku akhir Piala FA Inggeris buat musim kedua berturut-turut apabila gol sumbangan Anthony Knockaert dan Jurgen Locadia membantu mereka menang 2-1 ke atas Derby, malam ini.

Anak buah Chris Hughton berada dalam zon bahaya tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris selepas tidak menang dalam enam perlawanan terakhir.

Namun pasukan bergelar Seagulls itu melupakan seketika perjuangan untuk mengekalkan tempat di liga utama dengan mengatasi kelab Liga Kejuaraan kendalian Frank Lampard di Stadium Amex.

Derby melakar kejutan dengan menyingkirkan Manchester United dan Southampton dalam pertandingan piala domestik musim ini namun aksi pusingan kelima itu nyata bukan milik mereka.

Brighton membuka tirai jaringan selepas 33 minit apabila Knockaert merembat kencang ke penjuru gol mengatasi Kelle Roos selepas menyambut hantaran silang Yves Bissouma.

Pasukan Hughton menggandakan kelebihan apabila Locadia menyepak masuk dari jarak dekat pada masa kecederaan babak pertama selepas percubaan Bissouma terkena palang.

Bekas bintang Chelsea dan Arsenal, Ashley Cole mencetus penamat mendebarkan apabila pertahanan Derby itu menanduk masuk selepas 81 minit.

Ia gol pertama pemain berusia 38 tahun itu di England sejak 2012 dan gol sulungnya dalam Piala FA. Ia juga perlawanan keduanya bersama Derby sejak menyertai pasukan itu hingga hujung musim ini sesudah dilepaskan LA Galaxy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 12:33 AM