PUAKA Jerai mengenakan kostum baharunya.
PUAKA Jerai mengenakan kostum baharunya.
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Penyokong berpenampilan unik untuk skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dikenali sebagai Puaka Jerai sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi membawa imej sokongannya terus segar dan menarik buat Sang Kenari dalam kempen Liga Malaysia musim ini.

Dia yang popular dengan kostum hijau kuning berserta imej bunga matahari ini terus menjadikan setiap venue perlawanan melibatkan KDA FC terutamanya di Stadium Darul Aman menjadi bertambah ceria buat penyokong yang hadir.

Puaka Jerai atau namanya Zulkifli Hashim yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC) berkata, kostum bercorak baharu yang dibuat khas itu adalah sebagai tanda sokongan yang berterusan buat KDA FC musim ini.

"Kostum istimewa ini saya pakai buat pertama kali sewaktu Kedah menentang Perak FC di Ipoh bulan lalu dan buat pertama kali di Stadium Darul Aman ketika KDA FC menentang Terengganu FC (TFC) pada rabu lalu.

"Persiapan menyiapkan keseluruhan kostum ini menelan kos sekitar RM1,100 meliputi kos kain dan jahitan. Ini juga termasuk kos untuk seluar dan kasut serta aksesori yang berkaitan dengan imej hijau kuning yang saya bawa selama ini.

"Saya mengambil masa beberapa bulan pada tahun lalu untuk mencari kain dengan warna bersesuaian bagi mendapatkan kualiti yang sesuai untuk kostum musim baharu kali ini yang juga tahun ke-10 saya memakai kostum.

"Imej sebegini sudah menjadi identiti saya dan saya anggap penampilan ini sebagai satu tanda setia saya buat skuad KDA FC yang juga mengenakan imej hijau kuning sejak berpuluh tahun yang lalu.

Menurut Zulkifli lagi, imej Puaka Jerai yang sudah sebati dengan dirinya dan ia adalah salah satu cara untuk menyemarakkan sokongan penyokong Kedah ketika mereka hadir ke stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 6:23 PM