PEREKA logo KDA FC Ku Basri (tengah) dari Pendang memegang jersi hijau kuning musim 2021 yang baru dibelinya bersama penyokong Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman. FOTO IZZALI ISMAIL
PEREKA logo KDA FC Ku Basri (tengah) dari Pendang memegang jersi hijau kuning musim 2021 yang baru dibelinya bersama penyokong Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar : Kehangatan menjelang bermulanya Liga Malaysia (Liga M) dengan perlawanan Sumbangsih membabitkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) malam ini kian membara bahangnya apabila jualan jersi KDA FC mendapat sambutan luar biasa bagai goreng pisang panas.

Jersi versi tuan rumah atau 'home' berwarna kuning dan hijau yang baru dilancarkan semalam ini 'licin' dalam tempoh setengah jam sejak ia dibuka jualan jam 10 pagi ini di perkarangan Stadium Darul Aman.

Hampir 2,000 penyokong dilihat sabar menanti di sekitar perkarangan Stadium Darul Aman sejak pukul 8 pagi bagi memastikan mereka membawa pulang jersi hijau kuning yang bakal dikenakan skuad KDA FC bagi saingan musim 2021 yang bermula hari ini.

Menurut sumber yang berada di gerai jualan jersi berkenaan, penyokong Kedah sudah hadir seawal jam 8 pagi lagi menanti jualan jersi yang dijadualkan bermula pukul 10 pagi ini.

"Sambutan jualan jersi Kedah disini (Stadium Darul Aman) cukup laju... setengah jam saja kebanyakan saiz dah 'licin'. Memang 'panas'..."Jersi 'Home' bersaiz S, M, dan L sudah habis terjual dalam tempoh setengah jam sahaja manakala yang tinggal hanya saiz XL sahaja ini pun dah nak habis," katanya.

Pada masa yang sama, pereka logo yang logonya dipilih sebagai logo rasmi pasukan KDA FC, Ku Basri Ku Halim dari Pendang juga dilihat turut hadir berbaris mendapatkan jersi pasukan seperti mana dilakukannya setiap awal musim.

"Saya hadir awal di sini pada pukul 8 pagi bagi memastikan saya dapat memiliki beberapa helai jersi 'home' yang tertera logo yang saya cipta ini.

"Walaupun ada yang menganggap saya boleh menghubungi pihak tertentu untuk membuat tempahan, tetapi jiwa saya untuk turut sama beratur bersama penyokong Kedah untuk mendapatkan jersi musim ini lebih bermakna buat saya, tambahan pula tahun ini logo saya yang terpilih sebagai logo rasmi pasukan.

"Saya juga hadir bersama rakan sebagai tanda semangat dan cintakan pasukan Kedah yang akan menentang JDT malam ini dan kami berdoa serta berharap Kedah dapat berjuang penuh semangat, agar dapat memperoleh kemenangan pada malam ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 3:19 PM