PAN-GON berjaya lonjak imej bola sepak negara. FOTO Facebook FAM
PAN-GON berjaya lonjak imej bola sepak negara. FOTO Facebook FAM
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Lonjakan hampir 18 anak tangga daripada 154 dunia ke 136 ketika ini hanya dalam tempoh 19 bulan selain layak ke Piala Asia secara merit pada Januari depan buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun nyata meletakkan 'gred' barisan kejurulatihan Kim Pan-gon pada kedudukan lulus cemerlang ataupun Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 4.

Berdasarkan semakan, sejak Pan-gon membimbing skuad Harimau Malaya pada Mac 2022 lalu, pasukan negara sudah mengharungi sejumlah 23 perlawanan antarabangsa sama ada dalam aksi persahabatan Tier 1, kejohanan merebut trofi serta aksi membabitkan pusingan kelayakan.

Daripada keseluruhan aksi itu, Malaysia berjaya merakam 15 kemenangan dalam 23 aksi ditempuhi dengan meraih 65.2 peratus (%) berbanding hanya mencatatkan 17.4% atau empat kekalahan dan seri sepanjang tempoh dua musim lalu.

Malah, peratusan berdepan dengan pasukan di ranking lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya juga menunjukkan hasil positif apabila merekodkan 42% atau lima kemenangan ke atas pasukan seperti Turkmenistan (bertemu dua kali), Thailand, Filipina dan Kepulauan Solomon.

PAN-GON membimbing skuad Harimau Malaya sejak Mac 2022. FOTO BERNAMA
PAN-GON membimbing skuad Harimau Malaya sejak Mac 2022. FOTO BERNAMA

Bukan itu sahaja, keputusan positif juga berjaya dilakar ke atas beberapa negara yang berada di ranking 100 dunia terbaik seperti Syria dan China, dengan mengikat lawan berkenaan dengan secara purata meraih 33% keputusan seri termasuk mengikat Tajikistan dan Thailand sebelum ini.

Manakala hanya tiga kekalahan atau 25% direkodkan apabila tewas di tangan Bahrain, Vietnam dan Thailand yang masing-masing menghuni kedudukan ranking lebih tinggi daripada skuad negara.

Justeru catatan keseluruhan 65.2% itu dilihat cukup baik buat Pan-gon untuk kembali meletakkan pasukan kebangsaan di landasan tepat, malah tidak mustahil Malaysia mampu menghuni kedudukan 100 terbaik dunia selepas ini.

Pada Oktober depan, skuad Harimau Malaya akan menyertai Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil di mana tiga pasukan jemputan jelas berada pada ranking lebih baik iaitu India (99 dunia), Palestin (96 dunia) dan Tajikistan (110).

Jika pasukan negara mampu muncul juara di saingan itu nanti, kedudukan Malaysia di tangga 136 dunia pastinya berubah lagi dan ia akan menaikkan motivasi barisan pemain sebelum bersaing di Kelayakan Piala Dunia 2026 November ini, dan Piala Asia di Qatar nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 9:28 PM