GAKPO belum menjaringkan gol selepas enam perlawanan awal bersama Liverpool. FOTO Reuters
GAKPO belum menjaringkan gol selepas enam perlawanan awal bersama Liverpool. FOTO Reuters
Reuters

Amsterdam: Pemain baru Liverpool dari Belanda, Cody Gakpo bergelut untuk menemui rentak dan mungkin berpindah terlalu awal ke Liga Perdana Inggeris (EPL), kata jurulatih baru skuad kebangsaan negara itu, Ronald Koeman.

Gakpo, 23, berpindah ke Liverpool dari PSV Eindhoven, bulan lalu dan belum menjaringkan gol dalam enam penampilan.

Koeman berkata, memang bagus apabila pemain muda Belanda berpindah ke liga besar, tetapi pada masa sama, ia mungkin sukar buat mereka.

"Tahap di England lebih tinggi berbanding di Belanda, tetapi ramai lagi pemain muda. Misalnya (Ryan) Gravenberch berpindah ke Bayern (Munich) tetapi tidak bermain. Kemudian, keadaan menjadi sukar," katanya menerusi rancangan di YouTube yang dihoskan bekas pemain bola sepak, Andy van der Meyde.

Koeman berkata, prestasi terkini Liverpool yang tidak menentu tidak dapat membantu permainan Gakpo.

"Anda boleh melihat sekarang dia berada dalam pasukan yang tidak menjadi. Kemudian keadaan menjadi lebih sukar buatnya sebagai pemain baru. Anda terus diuji dan apabila tidak menjaringkan gol, tidak penting dan tidak memenangi perlawanan, keadaan menjadi sukar terutama bagi pemain muda.

"Jika anda adalah pemain berusia 28 tahun yang berpengalaman, situasinya pasti akan berbeza," tambah Koeman.

Dia yang mengendalikan Belanda buat kali kedua bermula 1 Januari lalu mengakui memantau rapi pemain beraksi di luar negara sambil menimbangkan kesebelasan utama untuk perlawanan kelayakan Euro 2024, Mac depan.

Dua perlawanan menanti Belanda pada bulan depan iaitu menentang Perancis dan Gibraltar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 9:38 PM