REAKSI Koeman (kanan) pada perlawanna hari ini. FOTO AFP
REAKSI Koeman (kanan) pada perlawanna hari ini. FOTO AFP
AFP

Lisbon: Ronald Koeman mengakui tidak mengetahui masa depannya selaku jurulatih Barcelona selepas tewas 0-3 di tangan Benfica pada saingan Liga Juara-Juara hari ini.

Satu lagi kekalahan dialami Barcelona bermakna mereka kini menduduki tangga tercorot Kumpulan E selepas tewas kali kedua berturut-turut pada saingan peringkat kumpulan di Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak tahun 2000.

Koeman sudah berdepan tekanan selepas permulaan kempen yang mengecewakan musim ini manakala hubungannya dengan presiden kelab, Joan Laporta agak tegang sejak beberapa minggu lalu.

Barca akan bertemu Atletico Madrid, Ahad ini dengan laporan media menyatakan lembaga pengarah akan bermesyuarat untuk menentukan masa depan Koeman.

"Saya mendapat sokongan daripada pemain dan sikap mereka tetapi yang lain saya tidak tahu," kata Koeman selepas tamat perlawanan.

Koeman ditanya lagi mengenai masa depannya pada sidang media berkenaan.

"Saya tidak dapat memberitahu apa-apa kerana saya tidak tahu apa keputusan kelab mengenai perkara ini. Saya tidak boleh menjawab soalan ini kerana ia bukan di bawah kuasa saya," katanya.

Barcelona hanya menang satu daripada lima perlawanan terakhir mereka di semua pertandingan yang turut menyaksikan kelab itu hanya menduduki tangga keenam La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 7:44 AM