HADIN (kiri) sarung jersi Penang FC musim ini.
HADIN (kiri) sarung jersi Penang FC musim ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Status sebagai bapa pada tahun ini menjadi semangat baharu buat pemain tengah Penang FC, Hadin Azman yang mahu membantu pasukan itu bangkit semula di pentas Liga Super selain mengidamkan untuk kembali menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Bekas pemain Kuala Lumpur City FC itu baharu sahaja menimang cahaya mata sulung pada awal Januari lalu sambil menyifatkan ia sebagai permulaan yang manis untuk memulakan musim 2023 dengan lebih sempurna.

"Alhamdulillah saya sudah 12 hari bergelar bapa dan diharapkan dengan kehadiran cahaya mata ini dapat membuka lebih banyak rezeki untuk saya sekeluarga.

"InsyaAllah saya nak bangkit pada tahun ini dan mana tahu kalau ada rezeki dapat kembali mencuri tumpuan diserapkan ke skuad kebangsaan semula.

"Apa pun, tujuan saya ke Penang adalah untuk membantu pasukan ini selain saya sedar masih banyak kekurangan saya tahun lepas dan saya fikir bersama Penang adalah keputusan terbaik untuk mendapatkan kembali persembahan saya.

"Saya akan cuba memberikan sehabis baik untuk sekurang-kurangnya membawa Penang dalam kelompok enam terbaik liga", katanya.

Dalam masa sama, Hadin yang sudah meraih dua jaringan pada tahun lalu turut mengharapkan dia mampu untuk mendapat tempat di hati kalangan penyokong skuad Harimau Kumbang sepanjang musim ini.

"Apa yang penting sekarang adalah untuk mendapatkan keserasian yang lebih baik terutamanya dalam perlawanan persahabatan akan datang.

"Saya pun masih baru lagi dan tidak sempat lagi nak sertai aksi persahabatan sebelum ini sebab baru menimang cahaya mata, jadi agak lambat sikit nak sesuaikan diri.

"Yang penting InsyaAllah saya memang berharap nak dapatkan sokongan penuh daripada penyokong Penang dan tiada masalah untuk saya segera dapatkan keserasian di sini selepas ini", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 6:16 PM