SESI latihan skuad Harimau Malaya. FOTO Ghazali Kori
SESI latihan skuad Harimau Malaya. FOTO Ghazali Kori
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua aksi persahabatan antarabangsa babitkan skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu adalah peluang buat barisan kejurulatihan negara membina momentum pasukan menjelang medan sebenar di Piala Asia di Qatar, pada Januari tahun depan.

Menurut legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, perlawanan dengan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea perlu dilihat dari perspektif lebih besar dengan tidak hanya meletakkan kemenangan sebagai asas utama.

Katanya, sudah tentu kemenangan diburu dalam aksi itu, namun beliau mahu semua pihak memberi peluang buat pengendali negara Kim Pan-gon menguji kesemua pemain yang dipanggil, termasuk muka baharu.

"Kita tak boleh memberi tekanan nak menang, nak menang sahaja. Memang bila main bola kita nak menang, tapi kita kena faham apa keutamaan pasukan ketika ini.

"Apa yang penting adalah Piala Asia pada Januari depan, jadi untuk ke arah itu, persediaan perlu dibuat dari sekarang dengan melalui beberapa perlawanan antarabangsa bagi proses membina momentum ke Piala Asia.

"Kita tidak mahu dalam perlawanan persahabatan menang sesaja, tapi bila Piala Asia kita kalah pula. Jadi biar sekarang jurulatih mencongak dengan mencuba pemain-pemain termasuk tonggak baharu supaya masing-masing dapat mencipta keserasian dan memahami corak permainan yang kita mahu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Skuad Harimau Malaya dijadual turun menentang Kepulauan Soloman di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok sebelum turun sekali lagi di venue sama pada Selasa depan bertemu Papua New Guinea.

Bagi memberi gambaran lebih jelas, Nasir mengimbau kembali kenangan skuad Olimpik 1980 apabila pasukan kendalian mendiang Karl-Heinz Weigang itu tewas dalam aksi persahabatan.

"Saya bagi contoh, dulu kami masa nak main pusingan Kelayakan Sukan Olimpik 1980, kami tewas semua perlawanan persahabatan.

"Tapi bila mulanya kelayakan, kami menang termasuk menewaskan Korea Selatan di perlawanan terakhir itu maksud saya, di mana aksi persahabatan ini kita tak boleh terlalu memikirkan soal nak menang semata-mata.

"Peminat biasalah mereka nak menang, tapi kita kena lihat dari gambaran lebih besar kerana sasaran kita adalah di Piala Asia nanti. Saya percaya jika kita beri kepercayaan dan sokongan yang jitu tidak kira ketika tewas dan menang, pasukan akan bertambah baik dan mampu beraksi mantap di kejohanan sebenar nanti," katanya.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama juara dia kali iaitu Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Skuad Harimau Malaya layak ke Qatar selepas muncul lima pasukan naib juara terbaik di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia tahun lalu sekali gus menamatkan badi 43 tahun di mana kali terakhir pasukan negara layak secara merit pada 1980 di Kuwait.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 12:26 PM