KANE berupaya pecah rekod. -FOTO AFP
KANE berupaya pecah rekod. -FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Tottenham, Antonio Conte percaya kemampuan Harry Kane untuk memecahkan rekod jaringan gol ketika penyerang itu berusaha memintas Jimmy Greaves sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.

Kane kini mengejar rekod Greaves 266 gol untuk Tottenham dan boleh memecahkan rekod itu dengan bergaya menjelang perlawanan menentang Arsenal awal pagi esok.

Kapten England itu juga menyamai pencapaian Wayne Rooney sebagai penjaring rekod bersama untuk negara semasa Piala Dunia apabila dia meledak gol ke-53 di peringkat antarabangsa.

Kane menjaringkan 17 gol di semua pertandingan untuk Tottenham musim ini dan Conte menjangkakan dia akan melakukan lebih lagi pada masa depan.

"Kami bercakap tentang penyerang bertaraf dunia dan pastinya dia akan mencipta rekod," kata Conte.

"Saya rasa dia layak mendapatkan itu tetapi saya mahu sentiasa meletakkan garisan dari aspek lain, aspek kemanusiaan Harry.

"Kami bukan saja bercakap tentang penyerang bertaraf dunia tetapi juga seorang yang sangat baik, seorang yang sangat baik bagi kami dan menjadi rujukan penting.

"Saya pasti dia akan mengatasi rekod ini dan melakukan sesuatu yang luar bisa."

Kane terpaksa memikul beban yang lebih berat daripada biasa untuk Tottenham musim ini kerana kecederaan Dejan Kulusevski dan Richarlison serta kemerosotan prestasi Son Heung-min.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 9:21 AM