KANE meledak gol tunggal untuk Tottenham. FOTO EPA
KANE meledak gol tunggal untuk Tottenham. FOTO EPA
Reuters

London: Bintang Tottenham, Harry Kane dari Tottenham Hotspur mencatatkan lebih banyak pencapaian peribadi selepas meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton dengan pengurus, Antonio Conte berkata penyerang itu kekal sebagai pemain terbaik pasukannya.

Kane mengatasi Sergio Aguero di kedudukan keempat dalam senarai penjaring sepanjang zaman Liga Perdana dengan 185 gol dan mencipta rekod itu untuk satu pasukan sahaja.

Dia juga merekodkan 250 gol dalam semua pertandingan untuk Tottenham.

Peminat sedar Kane dapat membantu pasukan untuk menamatkan penantian panjang mereka menjulang trofi sejak kali terakhir pada 2008.

Conte juga menyedarinya namun beliau menegaskan bukan hanya gol Kane yang menjadikannya pemain penting.

"Harry adalah pemain yang melakukan perubahan dengan kualiti dan keupayaan yang ada padanya.

"Kita bercakap mengenai penyerang yang benar-benar bertaraf dunia yang berbahaya dalam semua aspek di atas padang.

"Bagi saya, apa yang menarik mengenai Harry bukan sahaja pada aspek bola sepak, tetapi sikap individunya. Kita bercakap mengenai seorang yang sangat baik.

"Dia sentiasa bersedia untuk membantu dan bekerja dengan pasukan. Biasanya apabila anda mempunyai pemain seperti ini, mereka boleh menjadi malas," kata pengendali dari Itali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 8:34 AM