Pemain England, Raheem Sterling (kanan) bersama jurulatihnya, Gareth Southgate. FOTO File Reuters
Pemain England, Raheem Sterling (kanan) bersama jurulatihnya, Gareth Southgate. FOTO File Reuters
Reuters

Al Rayyan, Qatar: Bintang England, Raheem Sterling akan kembali dalam skuad Piala Dunia mereka mengikut tempoh ditetapkan bagi pertembungan suku akhir berdepan Perancis hujung minggu ini menurut FA England.

Penyerang itu dilaporkan pulang ke negaranya susulan kes rompakan yang berlaku di kediamannya baru-baru ini.

Sterling tidak beraksi dalam pasukan yang menang 3-0 ke atas Senegal pada saingan 16 terbaik, meninggalkan Qatar minggu lalu untuk kembali kepada keluarganya.

"Penyerang Chelsea itu meninggalkan pasukan sementara untuk menyelesaikan urusan keluarga tetapi dia dijangkakan kembali menyertai pasukan di Al Wakrah pada Jumaat menjelang aksi suku akhir berdepan Perancis," kata badan induk bola sepak negara itu dalam satu kenyataan.

England menentang Perancis di Stadium Al Bayt pada awal pagi Ahad, mengintai peluang mengatasi juara dunia itu dan mara ke separuh akhir sekali lagi selepas berada dalam kelompok empat terbaik di Rusia empat tahun lalu.

Sterling melakukan dua penampilan dalam peringkat kumpulan, menjaringkan satu gol dan bantuan gol ketika kemenangan 6-2 ke atas Iran pada aksi pembukaan England.

Begitupun, dia akan bersaing untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama permulaan bersama Bukayo Saka dan Marcus Rashford -- yang kedua-duanya menjaringkan tiga gol di Qatar - begitu juga Phil Foden.

Jika England mara, mereka akan berdepan pemenang suku akhir antara Portugal dan pasukan yang membuat kejutan, Maghribi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 6:44 PM