K DEVAN julang kejayaan NSFC musim ini.
K DEVAN julang kejayaan NSFC musim ini.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mengekalkan K Devan sebagai pengendali pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Turut dikekalkan K Nanthakumar dan Ahmad Osman masing-masing selaku Penolong Ketua Jurulatih dan Penolong Jurulatih.

Devan yang kembali membimbing Negeri Sembilan mulai musim lalu berjaya meletakkan pasukan di landasan terbaik selepas kejayaan menjulang kejuaraan Liga Perdana.

Pengenali kelahiran Bahau berusia 62 tahun itu turut melonjakkan nama skuad Hobin Jang Hobin dalam kalangan pencabar terkuat Liga Super dan menamatkan saingan di tangga keempat liga terbabit musim ini.

"Devan dan Nanthakumar akan terus mengemudi pasukan Negeri Sembilan FC untuk menghadapi musim 2023. Mereka bersama pasukan teknikal berjaya memimpin skuad Jang untuk meraih tempat ke empat Liga Super 2022 selain menjuarai Liga Perdana 2021," kata pengurusan kelab itu.

Devan yang juga bekas pemain Negeri Sembilan memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan pada 2004 dan kembali untuk semusim bersama Negeri Sembilan pada 2015.

Beliau juga antara jurulatih tempatan berpengalaman kerana membimbing banyak pasukan sebelum ini termasuk Selangor FC, Penang FC dan Petaling Jaya (PJ) City FC.

Malah, beliau juga jurulatih yang mengumpul trofi kejuaraan paling banyak sepanjang karier sebagai ketua jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:45 PM