K Devan kembali bimbing skuad Negeri Sembilan.
K Devan kembali bimbing skuad Negeri Sembilan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Teka-teki siapa ketua jurulatih Negeri Sembilan musim depan akhirnya terjawab apabila bekas ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, K Devan dilantik menjawat jawatan berkenaan.

Ini kali ketiga Devan, 59, kembali membimbing skuad Negeri Sembilan selepas kali pertama pada musim 2003 hingga 2006, disusuli pada musim 2015.

Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri berkata, satu sesi temu duga diadakan oleh jawatankuasa eksekutif PBNS, di Wisma PBNS, semalam.

"Kami sepakat melantik Devan dan semua sedia maklum, Devan adalah bekas pemain Negeri Sembilan dan jurulatih tempatan berpengalaman.

"Malah, beliau antara jurulatih yang berjaya mengumpul trofi kejuaraan paling banyak sepanjang kariernya sebagai ketua jurulatih bersama kelab yang pernah beliau bimbing," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tunku Syed Razman berkata, pengalaman yang dimiliki jurulatih kelahiran Bahau, Negeri Sembilan itu menjadi asas pemilihannya sebagai ketua jurulatih.

Menurutnya, kejayaan membawa PJ City menamatkan saingan di tempat ketujuh Liga Super musim ini, diyakini mampu menjulang kembali nama skuad Hobin Jang Hobin.

"PBNS yakin dan percaya dengan pengalaman dan pencapaian yang diraih Devan, akan dapat membimbing pasukan Negeri Sembilan untuk layak ke saingan Liga Super musim 2022," katanya.

Sebagai rekod, Devan pernah menjulang nama Negeri Sembilan apabila membawa skuad itu meraih kejuaraan Piala FA pada 2003 disusuli merangkul kejuaraan Liga Super pada musim 2005/2006.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 2:23 PM