VAN Gaal ketika sesi latihan Belanda di  Doha.
VAN Gaal ketika sesi latihan Belanda di Doha.
Agensi

Doha: Virgil van Dijk berkata, pemain Belanda menjadikan semangat tinggi Louis van Gaal yang berjuang melawan kanser prostat sebagai sumber inspirasi mereka.

Van Gaal menyembunyikan penyakitnya daripada diketahui pemain sehinggalah mereka layak ke Qatar. Hanya pada April lalu dia mendedahkan berjaya menjalani 25 sesi rawatan radioterapi.

"Kami semua manusia dan kami sangat terkejut apabila berita itu sampai pengetahuan kami," kata pertahanan tengah Liverpool itu.

"Ia sangat sukar tetapi penting bagi kami menunjukkan sokongan kepadanya. Dia lelaki sangat kuat, berterus terang tetapi kami mahu berada di sana untuknya.

"Tidak mudah untuknya menguruskan pasukan dalam situasi itu tetapi saya fikir dia mengendalikannya dengan sangat baik. Van Gaal pengurus kami, kami akan berjuang untuknya yang mungkin Piala Dunia terakhir baginya."

Van Gaal, 71, yang kali ketiga mengendalikan Belanda sebelum ini mengakui kejohanan di Qatar adalah Piala Dunia terakhir dalam karier kejurulatihannya.

"Kami belum tewas di bawah kendaliannya," kata pertahanan Manchester City, Nathan Ake. "Dia jurulatih yang hebat dan kami kini dalam momentum cemerlang. Kami tahu di mana kami berada sebagai satu pasukan. Setiap orang tahu peranan mereka dan dia memberikan motivasi dan meningkatkan kepercayaan kami."

Belanda yang menewaskan Senegal 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan A Selasa lalu akan berdepan Ecuador awal pagi esok sebelum menentang Qatar Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 11:03 AM