DEPAY bersama Van Gaal.
DEPAY bersama Van Gaal.
AFP

Doha: Jurulatih Belanda, Louis van Gaal seorang yang tegas dengan prinsip tetapi mengetepikannya ketika menyenaraikan Memphis Depay yang mengalami kecederaan untuk menghadapi kempen Piala Dunia di Qatar.

Penyerang Barcelona, Depay berdepan masalah hamstring ketika tugasan antarabangsa pada September lalu dan proses pemulihannya mengambil masa lebih lama daripada jangkaan tetapi Vaal Gaal tetap menaruh keyakinan kepada penjaring kedua terbanyak negara itu.

"Memphis sangat penting untuk kumpulan ini bukan sahaja sebagai pemain bola sepak tetapi juga sebagai manusia. Jadi saya memberikan tempat untuknya," kata Van Gaal ketika mengumumkan skuadnya bulan lalu.

"Dia pemain luar biasa, jadi saya ketepikan prinsip kerana saya menganggap dia sangat penting kepada pasukan saya," kata Van Gaal.

"Saya bercakap kepada pemain. Saya lakukan ini semua untuk Memphis dan mereka menerimanya."

Depay tampil kali pertama pada usia 20 tahun ketika Belanda kendalian Van Gaal menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2014 dan menjadi anggota skuad yang gagal beraksi di Rusia empat tahun lalu.

Dia memastikan episod duka tidak berulang apabila meledak 12 gol dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan menjadi seorang daripada hanya tiga pemain daripada skuad 2014 di Brazil yang beraksi di Doha.

Depay yang lebih kerap diturunkan sebagai pemain gantian membantu satu bantuan jaringan ketika Oranje menang 2-0 ke atas Senegal dan tampil dalam kesebelasan utama kali pertama dalam tempoh dua bulan ketika menewaskan Qatar 2-0.

Dia turut meledak gol ketika membantu Belanda menewaskan Amerika Syarikat 3-1 untuk mara ke suku akhir sekali gus jaringannya ke-43 dan kini hanya tujuh gol di belakang rekod milik Robin van Persie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 10:23 AM