PEMAIN Argentina meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia di Stadium Ahmad Bin Ali di Doha, Qatar. FOTO AP
PEMAIN Argentina meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia di Stadium Ahmad Bin Ali di Doha, Qatar. FOTO AP
Reuters

Al Rayyan, Qatar: Kapten Argentina Lionel Messi dan jurulatih Lionel Scaloni meramalkan pertembungan sukar tetapi menarik dengan Belanda apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir Piala Dunia, Sabtu depan.

Argentina menewaskan Australia 2-1 awal pagi tadi manakala Belanda mengatasi Amerika Syarikat (AS) 3-1 sekaligus menyaksikan aksi dinantikan membabitkan dua pasukan hebat yang bertarung pada final Piala Dunia 1978 dan dimenangi gergasi Amerika Selatan itu.

"Ia akan menjadi perlawanan cantik dan menarik antara dua pasukan yang mempunyai sejarah lalu. Namun satu pasukan perlu tersingkir dan berharap kami yang akan mara," kata Scaloni ketika sidang media selepas tamat perlawanan menentang Australia pada peringkat 16 terakhir.

Merujuk perbezaan umur, Scaloni, 44, berkata dia mengagumi kemampuan jurulatih Belanda, Louis van Gaal, 71, sejak beraksi sebagai pemain.

"Dia pengurus hebat. Saya teruja berdepan dia, kami tahu banyak dilakukannya dalam sukan bola sepak dan ramai cuba berjaya seperti dia," katanya.

"Kami berdepan lawan sukar dan berharap dapat pamer aksi terbaik, Mungkin mereka tidak seperti Belanda yang dahulu tetapi mereka jelas dengan apa mereka lakukan."

Messi yang menjaringkan gol pertama pasukannya dan dipilih pemain terbaik perlawanan ketika menentang Australia pada penampilan ke-1000 turut mengakui tugas sukar mereka.

"Kini kami berdepan misi sukar menentang Belanda yang beraksi sangat baik," katanya.

"Mereka mempunyai pemain dan jurulatih hebat, pastinya perlawanan getir. Ini suku akhir Piala Dunia, pastinya lebih sukar."

Scaloni berkata dia gembira dengan prestasi pemainnya yang menang tiga perlawanan berturut-turut di Qatar selepas tewas mengejut di tangan Arab Saudi pada aksi pembukaan.

Pada aksi di Stadium Ahmad Bin Ali pagi tadi, Messi meletakkan Argentina di depan pada minit ke-35 menerusi rembatan leret dan Julian Alvarez menyumbat gol kedua minit ke-57 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Australia, Mat Ryan.

Jaringan Messi yang berusia 35 tahun itu adalah gol ketiganya di Qatar dan kesembilan di Piala Dunia, satu gol mengatasi legenda Diego Maradona.

Craig Goodwin menjaringkan gol buat Australia selepas rembatannya terkena Enzo Fernandez sebelum menerjah ke gawang sendiri pada minit ke-77.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 7:52 AM