INGS meraikan jaringannya bagi memastikan kemenangan Aston Villa. FOTO Reuters
INGS meraikan jaringannya bagi memastikan kemenangan Aston Villa. FOTO Reuters
Reuters

Brighton: Aston Villa meneruskan prestasi cemerlang di bawah kendalian Unai Emery apabila menang 2-1 di Brighton & Hove Albion, malam tadi, dan dua gol Danny Ings memastikan kemenangan pertama di tempat lawan dalam tempoh enam bulan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Villa yang menang 3-1 ke atas Manchester United, Ahad lalu, pada perlawanan pertama Emery selepas menggantikan Steven Gerrard, kini naik ke tangga ke-12 liga dengan 18 mata daripada 15 perlawanan manakala Brighton di tempat ketujuh dengan 21 mata daripada 14 perlawanan.

Brighton berada di depan pada minit pertama apabila pemain tengah Argentina, Alexis Mac Allister memintas hantaran penjaga gol Villa, Emiliano Martinez kepada Douglas Luiz di luar kotak penalti sebelum merembat bola ke dalam gawang.

Gol selepas 49 saat perlawanan bermula itu adalah jaringan terpantas Brighton dalam sejarah EPL.

Ings merapatkan jurang buat Villa menerusi sepakan penalti pada minit ke-20 dan sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-54.

Kekalahan itu mengakhiri tiga kemenangan berturut-turut dicatatkan Brighton termasuk 4-1 ke atas Chelsea dan 3-1 ke atas Arsenal pada aksi Piala Liga Inggeris, Rabu lalu.

"Kami bermain cemerlang sebagai satu pasukan pada hari ini," kata Ings kepada Sky Sports.

"Keinginan dan kesungguhan memastikan kami terus menang."

Mengulas mengenai pengaruh Emery, dia berkata: "Dia baru bersama kami dalam tempoh singkat, tetapi kami sudah bersama untuk tempoh panjang. Kami akan berehat untuk Piala Dunia dan akan cuba memahami apa yang mahu diterapkannya kepada kami."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 10:29 AM