INGS (dua dari kanan) meledakkan gol kemenangan Southampton melalui sepakan penalti. FOTO AFP
INGS (dua dari kanan) meledakkan gol kemenangan Southampton melalui sepakan penalti. FOTO AFP
AFP

Brighton: Danny Ings kembali sembuh dari kecederaan untuk menjaringkan gol kemenangan yang kontroversi melalui sepakan penalti bagi membolehkan Southampton bangkit selepas ketinggalan menewaskan Brighton 2-1.

Kemenangan itu membolehkan Southampton melonjak ke tangga kelima namun Brighton terlebih dulu berada di depan melalui penalti Pascal Gross selepas bola terkena tangan James Ward-Prowse.

Anak buah Ralph Hasenhuttl berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat, apabila Jan Vestergaard menanduk masuk sepakan penjuru Ward-Prowse.

Ketika aksi berbaki sembilan minit, Ings yang masuk sebagai pemain gantian meledak gol kemenangan selepas Southampton diberikan sepakan penalti tatkala pemain Brighton membantah kekasaran berlaku di luar kotak.

Hasenhuttl gembira melihat pasukannya mencatat kemenangan walaupun tidak mampu memberikan persembahan terbaik.

"Saya tidak rasa insiden pertama patut diberikan penalti. Bagi insiden kedua, sebab itulah kita perlu menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR), terutama dalam membuat keputusan sama ada ia berlaku di dalam atau luar, jadi anda memerlukannya.

"Saya rasa ia jelas di dalam petak penalti. Ia tidak bagus untuk menjatuhkan hukuman tidak menyebelahi anda tapi apa yang saya nampak sangat jelas," katanya.

Pengurus Brighton yang kecewa, Graham Potter berkata, insiden pertama berlaku di luar petak penalti.

"Saya tidak tahu sama ada wujud kekasaran kedua tapi itulah yang pengadil fikirkan. Apa pun perlawanan berlangsung seimbang jadi saya kecewa dengan keputusan ini," katanya.

."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:57 AM