RUMAH baharu Ronaldo tersergam indah.
RUMAH baharu Ronaldo tersergam indah.
Agensi

London: Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo dilaporkan membeli rumah termahal di Portugal dengan harga £18 juta (RM98 juta).

Menurut laporan Sport, istana baharunya berkeluasan 2,729 meter persegi dan mempunyai tiga tingkat, taman bunga, jakuzi, gimnasium dan garaj yang menempatkan 20 kereta.

Namun apa yang menarik perhatian ialah lokasi rumah agamnya itu yang terletak di wilayah Cascais dan hanya 40 minit dari Lisbon.

Ini menimbulkan spekulasi bahawa pemain berusia 37 tahun itu akan pulang ke Sporting Lisbon, kelab di mana dia memulakan karier profesional sebelum menyertai United buat kali pertama.

Walaupun ia sekadar spekulasi, Ronaldo sebelum ini dikaitkan perpindahan semula ke Portugal dengan skuad Rueben Amorim sedia memulihkan kembali kariernya.

Beberapa hari lalu, Amorim menegaskan menjadi impian jika berjaya mendapatkan kembali pemenang lima kali Ballon D'or itu.

Namun, dia mengakui perpindahan itu dibayangi gaji mahal Ronaldo sekitar £500,000 (RM2.72 juta) seminggu di Old Trafford.

Kelab lain yang dikaitkan dengan Ronaldo ialah Napoli tetapi pengarah sukan mereka kurang berminat mendapatkannya sekali gus destinasi dituju bintang Portugal itu selepas bersama United terus menjadi tanda tanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 2:57 PM