Bruno Fernandes. FOTO File Agensi
Bruno Fernandes. FOTO File Agensi
AFP

MANCHESTER United dilaporkan bersetuju memeterai perjanjian bernilai 80 juta euro (RM360 juta) untuk menandatangani perancang tengah skuad kebangsaan Portugal, Bruno Fernandes dari Sporting Lisbon, umum kelab Liga Perdana itu.

“Manchester United berbesar hati untuk mengumumkan sudah mencapai persetujuan dengan Sporting Clube de Portugal untuk perpindahan Bruno Fernandes.

Perjanjian itu tertakluk kepada faktor perubatan dan persetujuan peribadi,” kata United dalam satu kenyataan.

Fernandes, 25, dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak beberapa bulan lalu tetapi United tidak bersetuju dengan nilai diberikan Sporting.

Sporting mengesahkan perjanjian itu membabitkan yuran 55 juta euro (RM247 juta) dengan tambahan 25 juta euro (RM112.5 juta) berkaitan persembahan bersama pasukan.

Tambahan berkenaan termasuk 5 juta (RM22.51 juta) untuk penampilan, 5 juta (RM22.51 juta) bergantung kepada sama ada United layak ke Liga Juara-Juara dan 15 juta (RM67.53 juta) jika Fernandes menang anugerah individu.

United terdesak memperkukuhkan jentera tengah berikutan kecederaan panjang melanda Paul Pogba dan Scott McTominay sementara kecederaan yang kembali menghimpit Marcus Rashford membuatkan Ole Gunnar Solskjaer tidak banyak pilihan di barisan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 9:21 AM